Ibu pukul dan pijak muka anak 11 tahun hanya kerana ambil alat solek, jerut leher guna tali

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, seorang ibu tergamak menganiaya anaknya yang berusia 11 tahun sehingga mengalami kecederaan di kepala dan lengan tangan hanya kerana mengambil alat solek di dalam bilik.

Itulah kejadian yang menjadi punca seorang ibu bergelar juruwang dihukum penjara selama tiga bulan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana mendatangkan kecederaan secara fizikal terhadap anaknya sendiri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan di kepala dan lengan kanan di sebuah rumah dekat Lobak di Seremban sekitar jam 5.30 pagi pada 29 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih dari RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Mengikut fakta kes, kejadian terbongkar selepas mangsa bertindak memberitahu guru bahawa dirinya dipukul oleh ibunya sendiri di rumah sebelum dihantarkan ke sekolah pada hari kejadian, lapor Berita Harian.

Mangsa mendakwa dipukul ibunya menggunakan pisau dan mengalami kecederaan di bahagian belakang cuping telinga selain ditolak ke lantai malah mukanya juga turut menjadi sasaran dengan dipijak.

Tertuduh juga turut menjerut leher anaknya dengan tali sebelum melepaskan jerutan yang mana perbuatan itu dipercayai dilakukan kerana mangsa dituduh mengambil alat solek di dalam bilik.

Hukaman penjara selama tiga bulan itu dijatuhkan Hakim Datin Surita Budin selepas mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan hari ini dan tertuduh turut diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.

Tertuduh juga perlu menyempurnakan bon berkelakuan baik bersama cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin dan sekiranya gagal membuat bayaran, wanita terbabit boleh dihukum penjara lagi selama dua bulan.

Terdahulu peguam dari Jabatan Bantuan Guaman, Hanis Anisah Jamiludin yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasi berkata bahawa juruwang terbabit mempunyai dua anak dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Ibu terbabit juga merupakan seorang pesakit mental yang bergantung kepada ubat selain memiliki sejarah cubaan membunuh diri manakala suaminya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Kejadian itu disebabkan oleh tertuduh gagal mengawal kemarahan terhadap mangsa dan menyesali perbuatan serta sangat rindukan anak-anak. Tempoh pemenjaraan panjang akan memburukkan kesihatan mentalnya.

“Tiada juga jaminan bahawa keadaan mental tertuduh akan bertambah baik (sekiranya dipenjara),” katanya yang memberitahu bahawa keluarga membuat akujanji bagi memastikan tertuduh makan ubat dan sentiasa dipantau.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmum memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh sebagai ibu yang sepatutnya melindungi anak namun malah mendatangkan kecederaan dan memberi kesan emosi jangka panjang kepada mangsa.

Baca juga: “Rezeki tak salah alamat” – ‘Rider’ terkejut dapat tip hampir RM1,000