Penduduk Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil di Baling, Kedah semalam dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki menikam neneknya sehingga maut dan menetak moyangnya hingga cedera parah di rumah mereka.
Suspek berusia 21 tahun itu kemudian ditahan pada jam 7.50 malam tadi bagi membantu siasatan selepas dibawa ke balai polis berhampiran oleh orang awam sejurus selepas kejadian tragis berkenaan berlaku.
Siasatan pihak polis mendapati suspek yang merupakan lelaki orang kurang upaya (OKU) itu dipercayai mengamuk sebelum bertindak menyerang kedua-dua mangsa dengan senjata tajam, lapor Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe, senjata tajam yang dipercayai telah digunakan oleh suspek dalam kejadian tragis tersebut sudah ditemui.
“Suspek adalah cucu kepada mangsa berusia 65 tahun yang meninggal dunia manakala mangsa yang cedera pula berusia 80 tahun adalah ibu kepada si mati.
“Suspek adalah seorang orang kurang upaya (OKU) intelektual disyaki mengamuk dan menyerang si mati dan mangsa dengan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian.
Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan mengaku telah menikam serta menetak nenek bersama moyangnya di tempat kejadian.
Lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini bagi permohonan reman dan pihak polis turut meminta orang ramai yang memiliki maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Terdahulu, kaunter Balai Polis Malau menerima makluman pada jam 7 malam daripada orang awam berhubung kejadian tikam dan tetak dua individu dipercayai berlaku kira-kira pada jam 6.30 petang.
Nenek berusia dalam lingkungan 60-an yang maut dalam kejadian itu didapati mempunyai kesan tikaman di bahagian belakang badan manakala ibunya berusia 80-an cedera parah dan memiliki kesan tikaman di belakang leher.
Dalam pada itu, Brandon memaklumkan bahawa kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Baca juga: Jangan lupa kecam PU Rahmat juga, desak sampai dia guna ‘public phone’