Walaupun mempunyai keupayaan untuk bekerja, masih terdapat segelintir individu yang memilih jalan mudah dengan menyamar sebagai pengemis berbanding berusaha mencari peluang pekerjaan yang sah.
Lebih menyedihkan, mereka sanggup berlakon meraih simpati orang ramai semata-mata untuk memperoleh wang secara cepat tanpa memikirkan kesan buruk terhadap masyarakat dan golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurut Oddity Central, seorang penghibur dikenali sebagai ‘pengemis terkaya’ di China selepas secara konsisten berlakon sebagai pengemis.
Bukan sekadar lakonan biasa, lelaki bernama Lu Jingang itu dikatakan mampu meraih pendapatan mencecah 70,000 yuan (RM46,069) sebulan, sekali gus mencetuskan perhatian ramai.
Lu Jingang menjadi tular kerana menjalankan ‘watak’ pengemis secara profesional di kawasan tumpuan pelancong Qinming Shanghe Garden di wilayah Henan.
Tanpa disedari, sudah 12 tahun dia menjadikan aktiviti itu sebagai sumber rezeki sehingga timbul perdebatan orang ramai yang menuduhnya sebagai penyamar.
Namun, lelaki berkenaan mempertahankan tindakannya dengan menyatakan dia benar-benar meminati bidang ‘kerja’ tersebut.
Baginya, lakonan sebagai pengemis membuka ruang untuk menjadi penghibur tanpa perlu melalui sesi uji bakat.
Demi menjayakan watak, dia sanggup mengotorkan wajah, menampilkan renungan mata penuh kesedihan serta mengenakan pakaian usang bagi menarik simpati pelancong untuk menderma.
Fenomena itu malah mencetuskan reaksi mengejutkan apabila ada individu dilaporkan mempertimbangkan untuk berhenti kerja dan mengemis kerana pendapatan bulanannya dikatakan lebih tinggi berbanding gaji pekerjaan biasa.
“Saya mahu berhenti kerja dan menjadi pengemis,” kata seorang pengguna media sosial.
Baca juga: Peniaga sakit, makanan baru masak berbau, ada kulat dan ulat angkara buatan orang?