Boss Ned muat naik gambar bersama Nadia Brian, Nora Danish tinggalkan tanda suka

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan bekas suami kepada pelakon, Nora Danish iaitu Nedim Nazri memuat naik gambar bersama selebriti, Nadia Brian di akaun media sosial miliknya telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Nedim yang lebih mesra dikenali sebagai Boss Ned itu turut meletakkan kapsyen romantis dalam perkongsian tersebut sekali gus menimbulkan tanda tanya orang ramai mengenai hubungan mereka.

Gambar berkenaan dipercayai diambil di sebuah restoran selepas mereka berdua menjamu selera yang mana anak Nedim bersama Nora iaitu Mohamed Neyqal turut dilihat berada di lokasi sama.

“Secebis hati saya tertinggal di sini,” kata Nedim yang juga merupakan anak kepada Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam ruangan kasyen di akaun Instagram miliknya.

Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi turut berkongsi gambar mereka bersama Neyqal atau lebih mesra disapa NeyNey yang sudah kelihatan mesra sehingga memeluk leher pelakon terbabit.

Walau bagaimanapun, perkara yang lebih mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial adalah tindakan Nora meninggalkan tanda suka atau ‘like’ dalam perkongsian gambar dimuat naik oleh Nedim itu.

Menerusi perbincangan dimulakan di platform Threads itu, rata-rata pengguna membuat andaian bahawa Nora memberikan maklum balas positif malah seakan-akan ‘merestui’ hubungan Nedim dan Nadia.

Ramai juga pengguna tidak lupa untuk mengirimkan doa agar Nedim dan Nadia dapat segera melangkah ke arah yang lebih serius dan dikurniakan kebahagiaan sekiranya benar mereka berdua mempunyai hubungan istimewa.

Perkongsian yang mencetuskan perbincangan tentang tanda suka ditinggalkan oleh Nora di akaun media sosial milik bekas suaminya itu.

Terdahulu, Nedim Nazri melangsungkan perkahwinan bersama Nora pada 30 Mac 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun sebelum bercerai pada 19 Jun 2024.

Nedim juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Mohamed Nedrin yang disapa sebagai Dre melalui perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita dikenali sebagai Nabilah Khan pada 2011 sebelum berpisah pada 2013.

Sementara itu, Nadia pula pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun perkahwinan tanpa dikurniakan anak tersebut disahkan berakhir pada April 2021. 

Baca juga: “Masuk kedai penuh lalat, bau bunga rampai” – Cat Farish dedah punca kedai isteri ditutup