Malaysia bakal ber­de­pan suhu terpanas dalam sejarah sehingga 42 ­darjah Celsius, berjaga-jagalah buat aktiviti luar

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia dijangka ber­de­pan suhu sehingga 42 ­darjah Celsius atau lebih, terpanas da­lam sejarah susulan fenome­na El Nino.

Kali terakhir negara berdepan cuaca paling bahang iaitu sekitar suhu 40.1 darjah Celsius, pada tahun 1997-1998 di Chuping, Perlis 

Ia adalah rekod suhu tertinggi yang pernah dirasai setakat ini.

Dengan jangkaan suhu sehingga 42 ­darjah Celsius, suhu panas boleh terasa sehingga 45 darjah Celsius atau lebih.

Menurut Utusan Malaysia, negara juga merekodkan beberapa episod fenomena El-Nino contohnya pada 2005 yang mencatatkan suhu antara 36-38 darjah Celsius.

Pada 2010 (36-37 darjah Cel­sius); 2015-2016 (39.3 darjah Celsius); 2023 (36-37 darjah Celsius) dan pada tahun ini, 37-40 darjah Celsius yang dijangka bakal menjadi episod paling panas namun bergantung kepada intensiti El Nino-Southern Oscillation (ENSO).

ENSO merupakan fenomena semula jadi yang melibatkan perubahan suhu laut dan angin di Lautan Pasifik yang mempengaruhi cuaca global.

Ia mempunyai dua keadaan utama iaitu El Nino (panas dan kering) dan La Nina (sejuk dan basah) dengan perubahan itu menentukan sama ada Malaysia akan mengalami cuaca panas, kemarau atau hujan lebat dan banjir.

Justeru, pendekatan masa depan perlu beralih daripada sekadar reaksi terhadap cuaca panas kepada pembangunan sistem ramalan awal dan pengurusan risiko lebih proaktif.

Di Perlis, ketika ini sudah memasuki hari ke-99 tanpa hujan dengan empangan Timah Tasoh, yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir hanya mampu bertahan 81 hari sekiranya masih tiada hujan serta panas berterusan.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, fenomena El Nino ketika ini tidak lagi boleh dilihat sebagai kitaran iklim biasa sebaliknya telah berubah menjadi fenomena lebih ekstrem, kompleks dan memberi impak sistemik.

Katanya, cabaran utama ba­kal dihadapi bukan sekadar ber­depan cuaca panas, tetapi sistem iklim semakin tidak menentu akibat interaksi antara El Nino dan perubahan iklim global.

“Walaupun suhu di Malaysia jarang mencecah tahap ekstrem seperti di Asia Barat atau India, risiko sebenar terletak pada gabungan antara suhu tinggi dan kelembapan tinggi. 

“Keadaan tersebut menyebabkan ‘heat stress’ yang lebih tinggi kepada manusia, walaupun suhu sebenar tidak terlalu ekstrem.

“Tambahan pula, kebergantungan Malaysia kepada sistem monsun menjadikan negara ini lebih sensitif terhadap peruba­han kecil dalam sistem iklim global seperti ENSO,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Baca juga: “Mak ayah bukan main, anak selekeh je” – Achey dah siap 20 pasang baju raya, anak tetap tak nak pakai