“RM2,000 untuk penjawat awam?” – Kementerian Kewangan sahkan poster tular palsu

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kewangan Malaysia tampil menafikan satu poster tular berkaitan “Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)” yang didakwa bakal diberikan kepada penjawat awam.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, kementerian itu menegaskan poster berkenaan adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang sah.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa poster yang tular mengenai ‘Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)’ adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang sah,” menurut kenyataan itu.

Poster palsu tersebut mendakwa kerajaan akan menyalurkan bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam sebelum pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam baharu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” jelas kementerian itu lagi.

Dalam masa sama, kementerian turut mengingatkan orang ramai dengan pesanan ringkas: “Tidak pasti, jangan kongsi.”

Baca juga: Pelancong Singapura terkejut Ringgit Malaysia laku di Vietnam, ada tanda harga ‘RM’!