Abang Acap dedah apa yang dilalui keluarga sepanjang 7 tahun misteri kehilangan Acap

Oleh KIM SYAZIE

Abang kepada seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang tujuh tahun lalu, Mohamad Ashraf Hassan atau Acap, mendedahkan apa yang dilalui keluarganya sepanjang tempoh kehilangan adiknya itu.

Abang mangsa, Denny Leng berkata, keluarganya berdepan pelbagai cubaan daripada pihak-pihak yang mahu mengambil kesempatan.

Pihak-pihak ini kononnya mampu membantu untuk mengenalpasti keberadaan sebenar Acap.

Pun begitu, tawaran bantuan yang dihulurkan bukanlah percuma. Sebaliknya mereka meletakkan syarat untuk membayar ribuan ringgit sebagai syarat meneruskan pencarian Acap.

“Kami sering mendengar persoalan mengapa tidak meminta bantuan daripada individu tertentu. Hakikatnya, kami tidak tahu siapa yang benar-benar mampu membantu dan tidak mungkin dapat bertemu semua orang yang menawarkan pertolongan,” katanya.

Denny mendakwa terdapat individu yang mengaku sebagai perawat meminta bayaran sehingga RM18,000 sebagai syarat untuk membantu mengesan keberadaan Acap.

Katanya, ada juga pihak yang meminta wang berjumlah ribuan ringgit selepas mendakwa pernah berjaya membantu menyelesaikan kes kehilangan individu lain.

Terdapat juga individu yang mencadangkan supaya keluarga mengadakan kenduri di puncak bukit dengan anggaran kos RM6,000.

Selain itu, ada juga yang mendakwa keluarga perlu membayar RM3,000 bagi tujuan ‘imbasan’ awal dan tambahan RM13,000 untuk meneruskan proses seterusnya sekiranya mahu menemui Acap.

Denny berkata, pelbagai lagi cubaan seumpama itu berlaku sepanjang tempoh kehilangan adiknya, namun keluarga memilih untuk tidak menghebahkannya dan kekal fokus terhadap usaha pencarian.

Baca juga: Pelancong Singapura terkejut Ringgit Malaysia laku di Vietnam, ada tanda harga ‘RM’!