Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun 2026 susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu lalu.
Menerusi satu kenyataan media, kementerian itu memaklumkan harga RON97 diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.35 seliter berbanding RM4.65 sebelum ini.
Harga RON95 pula diturunkan sebanyak 20 sen kepada RM3.72 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia turut turun 20 sen kepada RM4.67 seliter.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menjelaskan penurunan harga minggu ini tidak bermaksud pasaran petroleum global kembali stabil sepenuhnya.
“Menjelang 100 hari konflik dan perkembangan terkini di Asia Barat, masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu lagi, beberapa negara pengimport utama di Asia kini terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.
“Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan menegaskan harga petroleum bersubsidi masih dikekalkan bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup dan ketidaktentuan pasaran global.
Di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kerajaan mengekalkan harga subsidi RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima layak.
“Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.
“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95,” menurut kementerian itu lagi.
Selain itu, harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikekalkan pada RM2.15 seliter termasuk bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kementerian Kewangan turut menyeru rakyat menggunakan bahan api secara berhemah menerusi perancangan perjalanan lebih cekap bagi membantu menjamin kestabilan bekalan negara.
Baca juga: PMX gagal kawal harga minyak? Perdebatan Caprice vs Armada Bersatu ini curi perhatian ramai