Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap bencana menimpa rakyat Filipina susulan gempa bumi kuat yang berlaku di perairan selatan negara itu pada awal pagi tadi.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Anwar yang merasa cukup simpati itu turut mengirimkan doa demi keselamatan serta kesejahteraan semua mangsa yang terjejas dengan bencara tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut menyatakan kesediaan Malaysia sebagai rakan ASEAN untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan diperlukan bagi meringankan beban mereka.
“Saya ingin menzahirkan kebimbangan paling mendalam saya berikutan gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina awal pagi ini. Ingatan dan doa kami tetap bersama rakyat Filipina.
“Malaysia juga bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan yang mungkin diperlukan. Malaysia dan Filipina merupakan rakan rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN.
“Saya berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, mendoakan mereka kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi hari-hari sukar yang akan datang,” katanya dalam perkongsian itu.
Dalam kenyataan itu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan turut mengambil perhatian terhadap kesan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Sabah susulan kejadian tersebut.
Pemimpin nombor satu negara itu bagaimanapun memberikan jaminan bahawa situasi bencana kini dipantau rapi oleh kerajaan dan semua agensi kecemasan juga berada dalam keadaan siap siaga.
“Saya memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Kerajaan sedang memantau keadaan dengan teliti, dan perkhidmatan kecemasan kami berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.” Ujarnya.
Difahamkan setakat ini, bencana gempa bumi di luar pesisir 7.8 magnitud yang melanda selatan Filipina pada sekitar jam 7.37 pagi pada waktu tempatan itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang maut.
Gempa bumi tektonik itu berlaku di kedalaman 33 kilometer (km) dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di Wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, berhampiran General Santos.
Bencana itu dilaporkan telah mencetuskan ombak tertinggi mencecah 1.4 meter sehingga mengakibatkan beberapa bangunan runtuh selain bekalan elektrik juga terputus di kawasan berpopulasi kira-kira 700,000 orang tersebut.
Baca juga: Anwar tegur sikap sombong dalam politik, jangan nafikan hak mana-mana kaum