PM Anwar ke Jepun bukan suka-suka! Ini agenda penting tarik pelaburan balik Malaysia

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berlepas ke Jepun pada tengah hari tadi untuk memulakan lawatan rasmi beliau negara itu hingga Rabu ini bagi mengetuai delegasi negara dalam misi Diplomasi Madani.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa kunjungan itu bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik dan keterjaminan tenaga negara tatkala dunia berdepan krisis bekalan dan tenaga.

Lalu, bagaimanakah kunjungan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu ke Negara Matahari Terbit berkenaan membantu ekonomi Malaysia dalam mendepani kesan krisis global kelak?

Berikut kami rangkumkan agenda utama pemimpin nombor satu negara itu ke Jepun dalam misi diplomasi untuk menjaga hubungan dua hala dan membentuk kerjasama strategik demi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

1. Merintis kerajasama strategik baharu Malaysia-Jepun

Tujuan pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bukan sahaja untuk membincangkan perkembangan hubungan dua hala sebaliknya turut membentuk kerjasama strategik baharu.

Difahamkan, lawatan ini akan menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dan dua Surat Hasrat dalam sektor pertahanan dan keselamatan, kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar serta pendidikan tinggi.

2. Memberi ucaptama di Persidangan Antabangsa Nikkei ke-31

Anwar dijadual menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Future of Asia yang menjadi pentas penting untuk Malaysia mengetengahkan naratifnya dalam landskap geopolitik global.

Ucapan yang bertajuk ‘Navigating Strategic Uncertainty’ itu akan menyentuh peranan negara dalam mendepani cabaran ketidaktentuan global dan meneroka peluang baharu demi kemakmuran serantau.

Penyampaian Anwar dijangka akan memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, berdaya tahan dan komited terhadap kerjasama serantau mahupun ke peringkat global.

Beliau turut diberi penghormatan menyampaikan syarahan khas dengan tema ‘Humanity in a Human-Machine Civilisation’ di Universiti Tokyo mengenai keseimbangan kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan selari dengan konsep Malaysia Madani.

3. Menarik pelaburan berkualiti tinggi

Kunjungan Anwar dijangka akan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia melalui penyertaan mesyuarat secara langsung dengan enam syarikat Jepun serta sesi meja bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan ketua industri di negara itu.

Menerusi sesi tersebut, kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagang akan diketengahkan untuk menarik pelaburan berkualiti dari Jepun selain meningkatkan hubungan perdagangan serta kerjasama dalam bidang ekonomi.

Sehubungan dengan itu, Anwar dalam perkongsian di akaun Facebook miliknya memohon doa agar misi tersebut dipermudahkan dan membawa hasil yang bermanfaat buat rakyat serta negara.

Baca juga: PM Anwar zahir simpati tragedi gempa bumi di Filipina, Malaysia sedia hulur bantuan