Wanita cuak nampak dua lelaki mencurigakan depan ATM, terus minta polis jadi ‘bodyguard’

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita berkongsi pengalaman cemas ketika mahu mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM selepas mendakwa diperhatikan dua lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan.

Menerusi perkongsian di Threads Simelonnnz, dia pada mulanya mahu keluar dari kereta untuk menuju ke ATM sebelum menyedari dua lelaki sedang duduk di hadapan bank sambil memerhatikannya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu dilihat menjenguk ke arah keretanya sambil berbual sesama sendiri dan tersenyum, sekali gus membuatkan dia berasa tidak sedap hati.

“Tadi kat ATM bank, ada dua warga asing duduk depan bank tu.

“Dia tertinjau-tinjau tengok aku dalam kereta sambil menyengih pastu cakap-cakap sesuatu dengan kawan dia. Memang aku suspicious lah, terus tak jadi turun,” katanya.

Wanita itu kemudian mengambil keputusan meninggalkan lokasi tersebut untuk mencari ATM lain sebelum terserempak dengan sebuah kereta peronda polis yang sedang melakukan rondaan.

Dia kemudiannya memberi isyarat lampu tinggi kepada kereta polis berkenaan sebelum meminta bantuan anggota polis untuk menemaninya mengeluarkan wang.

“Encik, boleh teman saya tak? Saya nak keluarkan duit tapi takut. Ada dua orang lelaki duduk depan bank tadi,” ujarnya kepada anggota polis terbabit.

Menurutnya, anggota polis berkenaan bersetuju membantu dan terus menemaninya kembali ke lokasi ATM tersebut.

Sebaik melihat kehadiran kereta polis, dua lelaki berkenaan didakwa terus bangun sebelum diperiksa pihak berkuasa termasuk berkaitan pasport dan tujuan mereka berada di kawasan itu.

“Sampai je bank, aku pun parking depan-depan mereka. Biasalah, dah bawa ‘bodyguard’ kan ‘eksyen’ lah sikit,

“Sekali dorang nampak kereta polis terus bangun. Haaa… terus kena soal pasal pasport dan asal lepak situ,” katanya lagi.

Dalam masa sama, wanita itu turut menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang disifatkan sangat membantu dan prihatin terhadap keselamatan wanita.

Malah menurutnya, anggota polis terbabit turut mengekori keretanya hingga ke stesen minyak selepas urusan selesai bagi memastikan dia berada dalam keadaan selamat.

“Walaupun nampak macam isu kecil, tapi besar nilainya bagi saya. Terima kasih PDRM,” katanya.

Baca juga: Pemuda ini kongsi logik kenapa anak B40 selalunya susah naik jadi T20