Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kunjungan rasmi pada hari pertamanya di Jepun dengan mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Tan Sri Yohei Sasakawa yang juga sahabat lamanya.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut membuatkan mereka mengimbau semula sejarah kerjasama panjang yang sudah sekian lama terjalin termasuklah menerusi Forum 2000 diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel.
Difahamkan, forum itu menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan isu demokrasi, hak asasi manusia, keamanan dan masa depan peradaban sejagat.
Mereka juga pernah bekerjasama dalam usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi program pembangunan kepimpinan berpaksikan gagasan Asian Renaissane untuk melahirkan pemimpin berakar pada nilai, budaya dan kemanusiaan.
“Saya zahirkan penghargaan atas sumbangan besar Tan Sri Sasakawa kepada usaha kemanusiaan di seluruh dunia sejak sekian lama. Kami juga bertukar pandangan mengenai krisis antarabangsa yang kian meruncing.
“Termasuk situasi di Myanmar, konflik Israel-Iran serta tragedi kemanusiaan yang berterusan di Palestin. Usaha keamanan harus terus disokong pimpinan dunia serta masyarakat antarabangsa.
“Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan,” kata Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Sekadar info, Tan Sri Yohei Sasakawa yang juga Pengerusi Yayasan Nippon itu mula menjalankan aktiviti kebajikan dengan menyertai pertubuhan swasta tersebut pada 1981 selepas 20 tahun berkecimpung dalam sektor perniagaan.
Beliau turut membawa semangat keusahawanan dalam perjuangan berhubung pelbagai isu termasuklah berkaitan kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan dan keselamatan maritim.
Sasakawa juga terkenal di peringkat antarabangsa dalam menentang stigma serta serta diskriminasi sosial terhadap mereka yang menghidap penyakit kusta malah kekal komited dengan usaha tersebut selama lebih 40 tahun.
Usaha kebajikan Sasakawa juga dihargai di Malaysia sehingga beliau dikurniakan darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 2010 oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada tokoh antarabangsa berkenaan atas sumbangan besar beliau dalam usaha kemanusiaan global serta hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia.

Baca juga: Kerajaan MADANI komited lindungi pekerja gig, kerjasama Malaysia-ISSA diperkukuh