Ketika kebimbangan terhadap kos sara hidup masih menghimpit rakyat, kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara akan terus mencukupi, stabil dan mudah diperoleh.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sambutan menggalakkan orang ramai terhadap Program Jualan Agro MADANI di Kemelah membuktikan inisiatif menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah terus mendapat perhatian rakyat.
Menurut beliau, program itu merupakan antara usaha Kerajaan MADANI bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli barangan keperluan pada harga yang berpatutan.
“Alhamdulillah, Jualan Agro MADANI di Kemelah hari ini memang meriah. Ramai yang datang membeli dan mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih murah.
“Inilah usaha Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
“Sebab itu Program Jualan Agro MADANI diadakan di seluruh negara supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati harga yang berpatutan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohamad berkata, beliau bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus berusaha memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi, stabil dan mudah diperoleh oleh rakyat.
“Bang Mat dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus bekerja keras memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mudah didapati.
“Kita mahu rakyat tidak perlu risau tentang bekalan makanan,” tegas beliau.
Baca juga: PM Anwar umum insentif buat warga Felda, jadi bukti kerajaan dengar denyut nadi rakyat