Kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi meningkat sebanyak lima sen seliter manakala diesel tanpa subsidi naik 10 sen seliter bagi tempoh 16 Julai hingga 22 Julai 2026.
Ini adalah susulan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak dunia.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.42 seliter berbanding RM3.37 sebelum ini, manakala diesel tanpa subsidi naik kepada RM4.07 seliter daripada RM3.97.
Bagaimanapun, harga RON97 dikekalkan pada RM4.00 seliter.
Dalam kenyataan sama, MoF menjelaskan kenaikan harga bahan api tanpa subsidi dipengaruhi oleh perkembangan pasaran minyak global berikutan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
“Serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran,” kata kementerian itu.
Menurut MoF, harga minyak mentah Brent kini telah mencecah AS$85 setong, meningkat kira-kira 20 peratus dalam tempoh dua minggu.
“Selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu oleh ketidaktentuan pasaran global,” menurut kenyataan itu lagi.
Walaupun berlaku kenaikan harga pasaran, kerajaan menegaskan harga bahan api bersubsidi untuk golongan yang layak kekal tidak berubah.
Melalui skim BUDI MADANI, harga RON95 (BUDI95) dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel BUDI Diesel kekal RM2.10 seliter.
Selain itu, harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, sementara Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikekalkan pada RM2.15 seliter.
“Melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing,” kata MoF.
Kementerian turut memberi jaminan bekalan bahan api negara masih mencukupi dan menggesa orang ramai mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” jelas MoF.
MoF turut menyarankan rakyat merancang perjalanan dengan lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memanjangkan bekalan bahan api negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Baca juga: Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MoF