PM Anwar tak gentar ‘diugut’, tegas pendirian Malaysia sekat warga Israel masuk

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia untuk kekal menyekat kemasukan rakyat Israel ke negara ini walaupun berdepan ‘tekanan’ termasuk daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).

Hal ini berikutan Ahli Kongres terbabit menyuarakan ketidakpuasan hati dan meminta kerajaan AS untuk mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan Anwar sebelum ini yang mahu mengusir rakyat Israel keluar daripada Malaysia dalam kadar segera.

Menurut Anwar, pihak AS sepatutnya sudah sedia maklum dengan dasar negara yang menyekat kemasukan warganegara Israel ke Malaysia memandangkan aturan tersebut bukanlah perkara baharu malah sudah lama dilaksanakan sejak puluhan tahun.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat berhak berpegang kepada pendirian yang mempertahankan hak rakyat, menentang kezaliman, pencerobohan serta pembunuhan berterusan terhadap penduduk Palestin.

“Beberapa Ahli Parlimen Amerika telah membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia menyekat kemasukan rakyat Israel ke dalam syarikat-syarikat dan sebagainya. Ia tidak menghalang… dia (Ahli Kongres AS) boleh membuat ugutan.

“Tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia. Ternyata mereka tidak mengikuti langsung perkembangan. Banyak negara melarang dan Malaysia juga melarang sudah puluhan tahun.

“Mereka menggunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia, memohon supaya Kerajaan AS mengambil tindakan,” kata Anwar menerusi rakaman sesi sidang media program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, semalam yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres itu menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk menyuarakan kebimbangan amat serius dengan kenyataan Anwar yang didakwa bersifat antisemitisme dan mendesak kerajaan AS mengambil tindakan tegas.

Mereka yang terlibat adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berpendapat bahawa situasi tersebut sepatutnya tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dengan AS memandangkan mereka sudah sedia maklumkan dengan pendirian tegas negara ini.

“Mana mungkin wakil rakyat negara mereka boleh memadam kenyataan mengenai pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menakluk negeri, dan tidak mampu bercakap apa-apa. Malaysia ini negara merdeka.

“Kalau pun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan. Tetapi kita bebas menyuarakan. AS memang sedia maklum dasar Malaysia ini sudah puluhan tahun. Jadi, saya tidak fikir ia patut menjejaskan. Kita masih lagi menerima baik rakyat perniagaan, pelaburan serta perdagangan AS.

“Kita mengekalkan hubungan baik dengan AS sepertimana kita adakan dengan negara lain. Mustahil untuk kita sampai ke tahap tidak sanggup dan tidak berani menegur keterlanjuran dari segi pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan Gaza.” Ujarnya.

Pemimpin nombor satu negara itu sekali lagi menekankan pendirian tegas Malaysia tanpa tolak ansur terhadap entiti haram yang berkaitan dengan Zionis Israel menerusi ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Ahli Parlimen Tambun itu juga memberikan jaminan bahawa pendirian tersebut akan tetap dipertahankan selama beliau memegang tampuk pentadbiran walaupun perlu berhadapan dengan ugutan daripada pihak tertentu.

“Jangan ingat kita mudah dicabar sebegitu rupa seolah-olah Malaysia tidak ada maruah dan boleh dijadikan boneka. Kita ada kedaulatan dan selagi mana saya di sini, saya akan pastikan pendirian kita tidak berubah sama sekali waima sebesar mana pun ugutan!.” Tegasnya.

Baca juga: Cadangan Pinda Perlembagaan Iktiraf Mahkamah Anak Negeri Sabah