Malaysia Meterai MOU Dengan Dua Negara Laksana Perolehan Aset Secara G2G – Mohamed Khaled

Oleh BERNAMA

Malaysia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkiye dan Korea Selatan bagi melaksanakan perolehan aset pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata mekanisme itu merupakan pendekatan baharu yang akan digunakan bagi projek perolehan aset pertahanan tertentu dengan beberapa buah negara termasuk Itali dan Perancis yang turut mengemukakan cadangan melaksanakan urusan perolehan menerusi kaedah sama.

“Kita mengenal pasti projek tertentu yang memang kita akan lakukan secara G2G…Kalau dahulu kita tender semua syarikat masuk sama ada syarikat itu pengeluar peralatan asal (OEM) ataupun ejen dan sebagainya tetapi pada kali ini kita akan lakukan melalui G2G. Jadi kita dah ada dua MoU yang kita dah tandatangan untuk jayakan G2G.

“Pada masa sama, kita nak pastikan negara yang kita akan lakukan urusan itu merupakan negara boleh dipercayai dan bersedia untuk memindahkan teknologi kepada negara kita dan membantu membangunkan industri pertahanan tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berjaya mengurangkan kos pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) sebanyak 15 peratus menerusi rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.

Anwar berkata pendekatan G2G itu dilaksanakan bagi menghapuskan kebergantungan terhadap ejen yang sebelum ini menyebabkan kos pembelian aset pertahanan negara meningkat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata menerusi pendekatan itu, ia bukan sahaja membolehkan kerajaan memperoleh harga yang lebih berpatutan, malah menjamin bekalan kerana disokong komitmen kerajaan negara pembekal.

Katanya, perolehan secara G2G diyakini dapat memastikan proses yang lebih telus selain menawarkan harga lebih baik kerana tidak melibatkan orang tengah sekali gus menjamin keberkesanan aset pertahanan negara.

“Yang penting ialah perkhidmatan kita sama ada Tentera Darat, Tentera Laut ataupun Tentera Udara yang menetapkan spesifikasi yang dikehendaki. Bukan bermakna kerajaan membeli sesuka hati tetapi ia dibuat dengan kerjasama perkhidmatan yang memerlukan peralatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata ancaman terhadap keselamatan negara pada masa kini tidak lagi tertumpu kepada bentuk tradisional melibatkan konflik bersenjata sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk ancaman hibrid yang menyasarkan masyarakat, pemikiran dan persepsi awam.

“Antara bentuk ancaman baharu termasuk serangan melalui media sosial serta gangguan terhadap instrumen atau fasiliti penting seperti bekalan air dan elektrik yang boleh memberi kesan langsung kepada masyarakat,” katanya.

Justeru, beliau berkata masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya terletak kepada ATM semata-mata.

Mohamed Khaled berkata kesedaran itu akan diterapkan menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) yang diperkenalkan kerajaan sebagai usaha membudayakan tanggungjawab pertahanan negara dalam kalangan masyarakat. — BERNAMA.

Baca juga: Ramai baru tahu! Rupanya warga asing memang tak layak beli di Jualan Rahmah