Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap peninggalan penjajah seperti Fort Cornwallis menjadi ruang untuk generasi muda memahami makna perpaduan, harga negara yang bebas dan merdeka serta bencana apabila tanah air dijajah.
Menurut Anwar, sejarah bukanlah sekadar tinggalan batu-bata atau rentetan peristiwa, tetapi coretan pengalaman yang harusnya memberi didikan serta pengajaran tentang tanggungjawab mempertahankan keamanan, kemerdekaan dan masa depan negara.
Perkara tersebut dimaklumkan Anwar menerusi perkongsian di platform Facebook mengenai kunjungan beliau ke Pulau Pinang untuk merasmikan pembukaan semula Fort Conwallis dalam usaha memulihara warisan sejarah.
“Usaha memulihara warisan seperti Fort Cornwallis bukan sekadar mengindahkan sebuah kota, tetapi mengembalikan sejarah yang membentuk negara ini. Seperti diungkapkan Mark Twain, sebuah kota boleh maju dan moden. Tetapi akan menjadi gersang jika kehilangan budaya.
“Kerana itu pembangunan harus berjalan seiring dengan usaha memelihara warisan serta memahami sejarah yang membentuk jati diri negara. Kita tidak memulihara Fort Cornwallis untuk mengagungkan penjajahan.
“Sebaliknya, kita memeliharanya supaya generasi hari ini memahami bahawa suatu ketika dahulu, nasib negara pernah ditentukan oleh kuasa asing, bukan oleh rakyatnya sendiri. Sejarah yang pahit dan getir ini harus menjadi pengajaran agar kita tidak mengulanginya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan kekuatan dalaman yang perlu dibina melalui kesatuan dan semangat perpaduan semua kaum, dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi isu sempit perkauman dan pelampau agama.
Hal ini kerana pengajaran daripada sejarah itu cukup jelas bahawa tanpa wujudnya perpaduan, pembangunan, keamanan dan kekuatan pertahanan, orang lain seperti anasir pula akan menentukan nasib negara.
“Sejak awal pembentukan negara, para pemimpin terdahulu memahami hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang rencam. Justeru, Tunku Abdul Rahman memilih moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ kerana hanya dengan bersatu kita mampu mengangkat mutu dan martabat negara serta menjamin keadilan untuk setiap rakyat.” Ujarnya.
Baca juga: Malaysia Meterai MOU Dengan Dua Negara Laksana Perolehan Aset Secara G2G – Mohamed Khaled