Jangan jadi mangsa maklumat tak sahih, Saifuddin Nasution gesa rakyat semak dulu

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau berkongsinya, terutama dalam era penyebaran maklumat yang pantas melalui media sosial.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata budaya menyemak fakta perlu dijadikan amalan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, perkara itu turut ditekankan ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihoskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada pagi tadi.

“Di KDN, kami sentiasa berdepan dengan pelbagai isu yang menjadi perhatian masyarakat.

“Justeru, setiap maklumat perlu disemak berdasarkan fakta dan sumber yang sahih, bukannya andaian atau cerita yang belum tentu benar,” katanya.

Saifuddin berkata, perkara itu lebih penting dalam konteks JPPM yang menguruskan lebih 200,000 pertubuhan di seluruh negara.

Menurutnya, pelbagai isu dan maklumat sentiasa timbul dari semasa ke semasa, namun setiap daripadanya perlu dinilai berdasarkan fakta, rekod serta konteks yang tepat sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Beliau berharap budaya menyemak dan memastikan kesahihan maklumat terus menjadi amalan semua pihak, khususnya ketika berdepan lambakan maklumat di alam digital.

“Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, fakta akan sentiasa lebih bernilai daripada andaian,” katanya.

Baca juga: Kerjasama penganjuran F1 mencerminkan hubungan erat Malaysia-Bahrain – PM Anwar