Syarikat penerbangan nasional Bahrain, Gulf Air mengalu-alukan pemilihan Malaysia sebagai lokasi penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Gulf Air selaku penganjur rasmi perlumbaan antarabangsa itu turut mengumumkan hasratnya untuk mengendalikan penerbangan terus ke Kuala Lumpur dalam usaha mengukuhkan hubungan udara antara Kerajaan Bahrain dan Malaysia.
Perancangan itu bertujuan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar khusus buat peminat sukan permotoran dan pelancong agar mereka dapat menikmati sepenuhnya suasana perlumbaan Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026.
“Sebagai penaja utama perlumbaan ini, kami berharap dapat mendekatkan layanan mesra Bahrain yang terkenal kepada peminat sukan permotoran di Malaysia, dengan rancangan untuk memperkenalkan penerbangan terus ke Kuala Lumpur menjelang acara tersebut.
“Butiran penerbangan untuk acara ini akan diumumkan tidak lama lagi,” kata syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan dikongsikan di platform Instagram berhubung penganjuran perlumbaan yang dijangka berlangsung di negara ini pada 2 sehingga 4 Oktober.
Sebelum ini, penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain dihentikan Gulf Air pada 2012 menyebabkan para pelancong dan dan ahli perniagaan terpaksa bergantung kepada penerbangan sambungan melalui hab utama seperti Doha dan Dubai.
Malaysia kemudian merancang untuk mengembalikan penerbangan terus ke Bahrain bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan peluang ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota Bahrain, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa dengan menekankan kepentingan hubungan udara yang lebih kerap.
Perbincangan tersebut dilakukan sewaktu lawatan rasmi Anwar ke Bahrain pada Februari tahun lalu atas jemputan Sheikh Salman Hamad Al Khalifa merangkap Perdana Menteri negara itu.
Baca juga: Kerjasama penganjuran F1 mencerminkan hubungan erat Malaysia-Bahrain – PM Anwar