Jualan Agro MADANI bantu rakyat jimat RM30.3 juta, Mat Sabu mahu lebih ramai nikmati manfaat

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Program Jualan Agro MADANI berjaya membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM30.3 juta sepanjang tahun lalu menerusi penganjuran 4,695 program di seluruh negara.

Beliau berkata, kejayaan itu mendorong kementerian menyasarkan pelaksanaan 5,000 Program Jualan Agro MADANI pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohamad berkata beliau sempat singgah ke Jualan Agro MADANI di Gemencheh pada pagi tadi dan melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, pelbagai barangan keperluan seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan ditawarkan kepada pengguna dengan harga lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung yang, menurutnya, berpuas hati kerana produk yang dijual segar serta lebih murah.

“Inilah tujuan Jualan Agro MADANI diwujudkan. Kita nak bantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah, di samping membantu usahawan tempatan pasarkan hasil mereka.

“Insya-Allah, tahun ini kita menyasarkan 5,000 program supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Mohamad berkata, usaha memperluaskan program itu diyakini mampu memberi manfaat kepada semua pihak apabila pengguna dapat berjimat, usahawan tempatan meningkatkan pendapatan, manakala agenda keterjaminan makanan negara terus diperkukuh.

Baca juga: Peluang lebih ramai rakyat tonton F1! PM Anwar pertimbang cadangan Tiket Madani