Aaisyah sedih tengok ibu dikecam orang ramai, Che Ta dedah sudah langsai hutang MARA

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Rozita Che Wan mendedahkan bahawa dirinya sudah melangsaikan hutang pinjaman perniagaan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berjumlah hampir RM1 juta.

Menerusi satu hantaran Instagram Story, Rozita memuat tangkap layar perbualan bersama anak bongsunya iaitu Aaisyah Dhia Rana yang bertanya sekiranya ibunya sudah melangsaikan hutang tersebut.

Aaisyah yang baru berusia 10 tahun itu turut meluahkan kerisauan dan kesedihan apabila ibunya menjadi sasaran kecaman orang ramai terutama di platform media sosial berhubung isu hutang.

Mummy sudah bayar hutang Mara ke? Jadi sudah tiada apa-apa lagi dengan Mara?. Aaisyah sedih tengok ramai orang mengata mummy. Aaisyah sayangkan Mummy,” katanya menerusi satu pesanan di aplikasi Whatsapp.

Pelakon yang lebih mesra disapa Che Ta itu kemudian memaklumkan kepada anaknya bahawa hutang tersebut sudah dilangsaikan tanpa mendedahkan jumlah bayaran sebenar.

Menerusi perkongsian tangkap layar berkenaan, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu turut mengakui rasa cukup terharu dengan keprihatinan yang ditonjolkan oleh anaknya.

“Kerisauan seorang anak. Aaisyah sudah besar. Sudah pandai risau pasal mak dia,” tulis pelakon berusia 51 tahun terbabit di dalam perkongsian yang dimuat naik di Instagram Storynya itu.

Terdahulu, kediaman mewah milik Che Ta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor diserbu oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember lalu untuk urusan penilaian barangan bagi tujuan penyitaan.

Hal ini berikutan Che Ta yang juga usahawan itu didakwa gagal menjelaskan hutang pembiayaan perniagaan berjumlah hampir mencecah RM1 juta dipinjamnya pada 2017 daripada agensi berkenaan

Pinjaman bernilai RM960,000 itu dibuat melalui syarikat milik Che Ta iaitu RCW Worldwide Sdn Bhd dengan pelakon terbabit dan anak sulungnya yang berusia 28 tahun iaitu Ammar Effendy bertindak sebagai penjamin.

Baca juga: Adam Corrie dedah pernah kena ‘banned’ dengan satu stesen TV lepas masuk Islam