Sehingga 31 Disember 2021, Abim Selangor berjaya mengedarkan bantuan dengan anggaran sebanyak RM700,000 dan disalurkan kepada 13,000 orang penerima manfaat, kata Ahmad Fawwaz bin Ahmad Shukri, Yang Di-Pertua Abim Selangor.
Sebanyak 123 misi telah dijalankan berbentuk edaran barang keperluan, makanan, pembersihan dan sokongan psikologi dengan kekuatan seramai 850 orang
sukarelawan daripada pelbagai lapisan umur dan kaum, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
“Bantuan rakyat Malaysia juga amat banyak membantu dalam misi banjir kali ini. Di sinilah persaudaraan kita terserlah, budaya cakna kita tercungkil, budaya damai kita terlihat. Semoga dalam kerangka bangsa Malaysia. Semua yang menerima musibah wajib dibantu, tidak kira agama, bangsa dan keturunan,” kata beliau.
Abim Selangor, katanya, akan meneruskan Misi Pasca Banjir untuk tahun 2022 ini dengan harapan dapat mengurangkan sedikit sebanyak kesusahan yang rakyat hadapi.
Menurut beliau, pada hari pertama berlaku banjir lagi mereka telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir ke seluruh Selangor dan berjaya mengatur sukarelawan untuk bertindak dalam misi banjir kali ini.
“Rumah demi rumah telah dijalankan kerja pembersihan, premis kerajaan dan sekolah-sekolah telah menerima bantuan daripada sukarelawan Abim Selangor dengan kerjasama 7 lagi buah NGO dan beberapa pihak ADUN dan korporat,” katanya.