Abim tuntut PM jangan tandatangani TPPA

Oleh BORHAN AHMAD

Abim menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dan kerajaan Malaysia agar tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA), demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.

Presidennya Mohamad Raimi Ab.Rahim berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat.

Malaysia seharusnya berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat.

“Malaysia tidak seharusnya rasa rendah diri dalam mengambil pendirian terutama sekali dalam isu TPPA dan isu-isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan umat Islam di persada global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abimtelah menfailkan semakan kehakiman berhubung dengan TPPA dan kes ini akan diperdengarkan di Mahkamah Jalan Duta, pada 19 November 2015, jam 9 pagi.

Presiden Amerika Syarikat, Barrack H Obama akan berkunjung ke negara ini mulai 20 November 2015.

ABIM, kata Raimi, menilai lawatan beliau ke negara ini strategik dari segi diplomasinya tatkala Malaysia masih berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan di tengah kehangatan isu TPPA.

“ABIM melalui penglibatannya dalam gabungan NGO Bantah TPPA menilai wujud ketempangan dan ketidakadilan yang nyata dalam isi kandungan TPPA yang perlu disuarakan oleh kerajaan kepada Presiden Obama.

“Semenjak isi kandungan draf perjanjian TPPA ini disiarkan secara umum, pelbagai maklumbalas bernadakan kebimbangan terhadap implikasi perjanjian TPPA ini telah disuarakan oleh rakyat dalam pelbagai kapasiti, sektor, serta bidang yang berbeza. Ternyata kebimbangan ini terbukti benar,” katanya.

Pada masa yang sama, Abim sebagai badan gabungan Save Al Quds International Campaign turut menggesa agar Perdana Menteri amenyuarakan secara tegas pendirian umat Islam agar Amerika Syarikat menghentikan samasekali sokongan dan bantuan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada sekutu rapatnya Israel yang kini agresif menceroboh Masjid al Aqsa.

Gesaan ini adalah lambang solidariti negara serta rakyat dan rantau ASEAN (selaku pengerusi ASEAN) terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas negara “haram” Zionis- Israel.