Pelakon, Datin Intan Najuwa baru sahaja melahirkan bayi perempuan yang merupakan cahaya mata sulungnya diberi nama Imane Lunara pada 15 Disember lalu.
Namun belum genap sebulan melahirkan anak pertama, pelakon berusia 28 tahun terbabit telah menerima komen negatif daripada sesetengah pihak mengenai wajah dan bentuk badannya.
Ramai pengguna media sosial terutamanya wanita tampil mempersoalkan tubuh badan Intan yang belum kembali kepada bentuk asal sedangkan semua ibu mengandung memerlukan masa untuk pulih semula.
Perkara itu turut menimbulkan kehairanan pada diri Intan hingga pelakon terbabit bertindak bertanyakan pendapat mengenainya kepada para pengikut platform media sosial miliknya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abd Wahid itu tampil bertanya mengenai perubahan fizikal seorang ibu selepas melahirkan anak.
“Baik, saya nak tanya soalan serius. Acik-acik yang kutuk perut saya masih besar dan kembang ini, mereka selepas melahirkan anak (bentuk badan) terus macam Miss World ke?.
“Maaf, saya tertanya-tanya sahaja. Sebab adakah saya sahaja yang macam tak normal?,” soal Intan yang mula meraih populariti menerusi lakonannya di dalam drama bersiri, Hantu Punya Bos itu.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna turut merasa kesal dengan kata-kata yang dilontarkan ‘mak cik bawang’ berkenaan namun berharap Intan mengabaikannya sebaliknya fokus kepada fasa ibu kini dilaluinya.
Ramai juga pengguna memberitahu bahawa perubahan fizikal terhadap ibu mengandung adalah normal sahaja dan memberi semangat buat Intan supaya dapat melalui proses berpantang dengan lancar dan segera kembali pulih seperti biasa.
“Tak payah layan. Nikmati sahaja fasa ibu yang kini sedang dilalui. Perut besar atau kecil ke, bukan mereka yang beri kita makan. Yang komen macam itu sudah tentu mereka kurang kasih sayang. Sakit hati tengok orang lain ada ramai yang sayang,” kata seorang pengguna.
“Perut perempuan selepas bersalin, sama sahaja gayanya. Sakit, rupa bentuk, rekahan dan selulit yang sama. Entah-entah yang komen menyindir itu tak pernah beranak lagi. Tunggulah giliran mereka kelak. Semua yang Datin lalui itu normal sahaja. Fokus kepada proses penyembuhan dan berpantang sahaja, Datin.” Kongsi pengguna lain.
Untuk rekod, Intan dan pasangannya iaitu seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Ahmad Asraf sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pada 18 Ogos 2023.
Hasil perkongsian hidup, pasangan terbabit baru sahaja dikurniakan dengan kehadiran cahaya mata perempuan sulung yang diberi nama Imane Lunara pada 15 Disember lalu.
Baca juga: Lelaki guna wang simpanan lebih RM1.8 juta bina rumah Shin Chan sebenar