Umno didakwa cuba menggunakan isu pembubaran beberapa agensi kerajaan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sebagai kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Walhal PH sendiri telah memberi sebab yang munasabah bahawa pembubaran agensi-agensi tersebut dibuat kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan BN ketika itu untuk menjadi jentera politik BN semata-mata.
Ahli Jawatankuasa Nasional AMANAH, Mohd Sany Hamzan, dalam kenyataan balas mengingatkan supaya Umno bersikap jujur dengan isu ini lebih-lebih lagi apabila parti itu cuba memainkan isu bahawa PH telah menyebabkan 55,000 kakitangan kontrak awam kehilangan pekerjaan.
Beliau menegaskan bahawa pembubaran agensi untuk dijadikan ejen propaganda politik BN itu tidak dilakukan secara semberono.
“Antara agensi berorientasi politik BN yang dibubarkan adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).
“Sila senaraikan apakah pencapaian yang telah diperoleh agensi-agensi ini melainkan sekadar menjadi ejen politik kepartian BN semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat Malaysia juga tahu bahawa pentadbiran BN memang terserlah dengan sikap boros dan membazir wang negara.
Justeru katanya, penubuhan pelbagai agensi yang mempunyai peranan yang sama antara satu sama lain adalah kaedah BN untuk mengagihkan jawatan kepada kroni-kroni mereka.
“Berdasarkan kepentingan yang tidak signifikan, pembubaran adalah perlu bagi menjimatkan wang negara sehingga RM500 juta. Hal ini turut disokong oleh pakar-pakar ekonomi sebelum ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, beliau menyeru rakyat Malaysia membuat pilihan bijak dalam PRU-15 ini dan tidak terpengaruh dengan propaganda murahan Umno yanh diumpamakan seperti sedang ‘lemas terkapai-kapai’.
Baca juga: Mana-mana banduan termasuk Najib tidak boleh keluarkan kenyataan, semua perlu ditapis
Baca juga: ‘Buatlah masa gaji, rasa macam tak balik mengundi’ – Ramai mengeluh buang undi ketika poket kering