“Ada bau permusuhan antara mereka”, Sabri Yunus sifatkan tuduhan zina sangat berat

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengarah dan pelakon, Sabri Yunus langsung tidak menyangka keputusannya untuk menikah di Perlis boleh menimbulkan impak yang sangat besar.

Meluahkan rasa sedih, Sabri yang juga pelawak popular itu kecewa apabila lafaz qabul diungkapkannya malah menjadi punca pendebatan antara pendakwah.

Lebih memburukkan keadaan, ada individu mendakwa Sabri dan isterinya, Angeline Tan sudah berzina kerana pernikahan yang dilangsungkan pada Sabtu lalu itu tidak sah.

Menyifatkan dakwaan tersebut sangat berat, lelaki yang berusia 63 tahun itu berkata tuduhan dilemparkan pendakwah berkenaan telah mengundang persepsi negatif.

Tular di media sosial, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh bintang telefilem Pok Ya Cong Codei itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata (menuduh) pernikahan kami tidak sah dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Ia satu tuduhan berat.

“Katanya lafaz qabul mengelirukan. Siapa yang keliru? Dalam majlis itu hanya perlu dua saksi walaupun hampir 25 orang hadir. Saksi dua orang tak keliru dan 25 tetamu pun sama.

“Orang di luar tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu. Dia dengar atau tidak, faham atau tidak bukan isu pengesahan. Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya,” tulisnya.

Terdahulu, seorang pendakwah mendakwa pasangan yang dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.

Dedah Sabri, agamawan yang mengeluarkan dakwaan itu dilaporkan tidak sehaluan dengan Mufti yang dikenali sebagai Dr Maza sehingga wujud perselisihan pendapat.

“Saya tahu ustaz ini banyak tidak sependapat dan sealiran dengan Dr Maza yang bertindak sebagai jurunikah kami. Jadi ada bau permusuhan antara mereka.

“Hari ini saya baca banyak lagi pandangan ulama lain akan isu ini. Ternyata berbeza dengan pandangan ustaz ini. Jangan letak hukum atas dasar rasa kebencian semata.

“Agamawan tidak harus bersikap begitu. Tidak terselit keikhlasannya”, ulasnya yang tidak mahu menjadi mangsa kebencian kepada ‘seteru’ pendakwah berkenaan.

Mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih negeri Perlis, Sabri menegaskan majlis pernikahannya tidak melanggar sebarang akta berkaitan urusan pernikahan.

Jelas Sabri, hal ehwal agama termaktub di bawah kuasa kerajaan negeri dan penganjuran majlis itu tidak melanggari sebarang akta berkaitan urusan pernikahan.

“Secara peribadi, saya sedar apa yang akan berlaku apabila kami buat keputusan untuk bernikah di Perlis dan memohon untuk diakadkan oleh Dr Maza.

“Saya ada sebab tersendiri memilih Perlis, tetapi saya tidak menyangka ada isu lain, isu yang saya tak terbayang pun oleh akal fikir saya.” Kata Sabri.

Baca juga: Kecoh ulama dakwa pernikahan Sabri Yunus dan Angeline tidak sah, sekali ini jawapan Mufti Perlis