Sehari selepas berakhirnya kedua-dua Presiden PAS dan Umno berpakaian sedondon duduk di pentas Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan pendiriannya untuk meneruskan perjuangan tanpa had masa.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Amanah sebagai parti Islam yang memperjuangkan keadilan dan menentang kemungkaran akan memastikan iltizam tersebut sentiasa berterusan sehingga hari kiamat.
“Perjuangan untuk menegakkan ma’ruf dan menentang kemungkaran akan berlaku setiap masa dan setiap ketika. Ada kalanya kita ditegur dalam perjuangan dan ada ketikanya kita menegur orang lain.
“Kita mengkritik orang lain, dan kita menentang orang lain kerana mereka melakukan kesilapan dan kemungkaran. Kita juga tidak terlepas dari perkara sama.
“Maka sesama kita juga perlu tegur menegur. Inilah apa yang dipanggil muhasabah. Pesan memesan di atas perkara yang hak dan berpesan dengan kesabaran,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut mantan Timbalan Presiden PAS itu, semua pimpinan, ahli, dan penyokong Amanah termasuk penyokong Pakatan Harapan dan serta seluruh rakyat negara ini tidak harus bimbang dengan situasi politik semasa.
“Kita jangan berasa gusar dengan perubahan politik dan suasana yang berlaku kepada musuh politik kita atau rakan kita kerana perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran tidak ada batas waktu dan ketika.
“Ingat, ulamak-ulamak hebat dan muktabar muncul ketika negara Islam beroperasi ketika itu, sama ada kerajaan Islam berada di bawah kerajaan Umayyah atau Abbasiyah atau pun kerajaan pimpinan Uthmaniyyah Turki.
“Imam-imam yang hebat, seperti Imam Syafie, Iman Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Nawawi, dan ulamak-ulamak muktabar yang lain, mereka menegakkan ma’ruf dan menentang kemungkaran tanpa mengira waktu, masa, zaman dan tempat,” jelasnya.
Menekankan kesediaan Amanah untuk sedia dikritik oleh pihak yang tidak sependapat dengan parti yang baharu berusia tiga bulan itu, Mohamad mengingatkan jihad paling afdal ialah jihad menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah zalim dan bukan di hadapan mereka yang telah berpencen.
“Perubahan politik berlaku setiap waktu dan ketika. Kadang-kadang pihak musuh menjadi kecil dan ada kalanya mereka menjadi besar. Selamat maju jaya kepada semua pimpinan, ahli, dan penyokong Amanah, penyokong Pakatan Harapan dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia,” ujar Mohamad lagi.
Tampil dengan visi untuk menjadi parti Islam utama di Malaysia sehingga wujudnya sebuah negara yang adil, beramanah dan rahmah untuk semua, Amanah dilihat saingan kepada PAS menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang.