Buat peminat tegar bebola daging atau meatball, tak kira dimakan bersama sos lada hitam, spageti atau dimasak ala barat, satu hal yang pasti, harga versi sejuk beku di pasaran boleh tahan mahalnya.
Tapi kalau buat sendiri di rumah, bukan saja lebih jimat, malah saiz pun boleh ikut selera, nak sebesar penumbuk atau kecil comel pun boleh, semuanya ikut kehendak tekak dan kreativiti sendiri.
Ikuti perkongsian pengguna Facebook, Anis Fadliyana Abd Majid menerusi halaman ‘Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)’.
Cara buat bebola daging
Bahan-bahan:
- Daging (kisarkan bersama bawang – tiada sukatan tepat, agak-agak sahaja)
- Lada sulah secukup rasa
- Telur (saya guna sebiji)
- Garam secukup rasa (boleh juga tambah gula atau perasa ikut citarasa)
- Tepung gandum (saya guna sesudu besar)
Cara-cara:
- Kisarkan daging bersama bawang holland dan bawang putih.
- Masukkan lada sulah. Boleh tambah rempah dan sayur seperti lobak merah, batang saderi atau apa sahaja cumanya jangan banyak la. Biar isi daging lebih baru sedap.
- Masukkan sebiji telur. Perasakan sikit dengan garam. Nak letak gula atau cukup rasa pun boleh, saya letak garam sikit je.
- Masukkan tepung. Saya guna tepung gandum sesudu gunung je.
- Kalau ikut kebanyakkan resepi guna tepung ubi. Tapi saya tak ada tepung ubi. Saya letak tepung gandum sikit nak bagi macam melekat kan.
- Bentukkan seperti bebola atau bentuk macam daging burger, saiz ikut suka
- Didihkan air dan masukkan bebola tadi.
- Rebus hingga ia timbul dan masak.
Nak buat sup boleh, makan dengan spageti bolognese pun sedap, nak simpan dekat sejuk beku pun tak ada masalah. Buat sendiri rasa lebih selamat dan menyihatkan.