“Ada lelaki ni kahwin dengan orang lain lepas aku tolak cinta dia, tapi sampai sekarang dia menagih kasih”

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak perlu berkahwin jika di hati masih ada yang bertakhta, bimbang hanya akan menyakiti pasangan halal.

Apatah lagi zaman sekarang status diri bukanlah penghalang untuk menjalin cinta, baik lelaki mahupun wanita, masing-masing ada gatalnya.

Seorang wanita keliru selepas kerap diganggu lelaki walaupun sudah menolak cinta sebaiknya dek kerana masalah keluarga.

Di bawah adalah kisah yang diambil dari portal luahan perasaan atas talian.

Saya sering didekati lelaki yang menampakkan hasrat untuk memperisterikan saya tapi setelah saya menolak, terus mereka kahwin dengan perempuan entah mana dia kenal.

Tapi dalam masa yang sama, masih mahu berhubung dengan saya dan masih ada perasaan terhadap saya.

Kadang-kadang saya kesian kat isteri mereka. Isteri tu pilihan keluarga.

Tapi isterinya tak tahu bahawa dia hanyalah pilihan ekspres sebab suami nak move on daripada perempuan lain. Tapi realitinya suami belum move on pun.

Bukan seorang lelaki yang saya kenal begini. Saya akui saya agak menarik dari segi muka dan personaliti.

Nak kata cantik tu subjektif sangat tapi mungkin sebab personaliti saya yang ceria dan selalu positif serta lemah lembut membuatkan lelaki cepat suka saya.

Tak ada niat kahwin, mahu lunaskan hutang keluarga

Saya sedang menanggung hutang keluarga dan saya perlu selesaikan hutang ini terlebih dahulu.

Waktu bujang ni saya tak ada masalah untuk mencatu duit dan makanan demi membayar hutang keluarga. Saya sayang keluarga saya.

Kalau saya kahwin, komitmen sudah tentu akan bertambah. Malah, saya perlu berikan komitmen sepenuhnya terhadap keluarga.

Hal ini tentu akan merumitkan hidup saya untuk menyelesaikan hutang keluarga. Tak mahu lepas kahwin susah suami untuk selesaikan hutang.

Lelaki yang pernah ajak kahwin, mereka bukan calang-calang orang pun. Ada doktor, guru, ustaz dan sebagainya. Semuanya saya tolak dengan baik.

Saya berikan alasan mahu bina kerjaya dahulu, padahal jauh di sudut hati saya pun nak je kahwin. Tapi hutang ini sudah menjadi bebanan buat saya.

Setiap kali reject lelaki berkenaan, saya mesti akan menangis. Saya sendiri yang patah hati sebab terpaksa bertindak sedemikian.

Jauh di sudut hati, saya masih berharap lelaki itu akan setia menunggu dan tak putus berharap. Tapi lelaki semua sama. Semuanya tidak sabar.

Sebulan dua selepas saya tolak, mesti keluarga akan cuba jodohkan dengan seseorang dan mereka sangat mudah menerima calon tersebut.

Tiba-tiba tak sampai berapa bulan saya tolak cinta sedar-sedar dah bernikah. Makin bertambah patah hati saya.

Sebab sejujurnya saya juga menaruh perasaan yang sama seperti lelaki-lelaki tersebut. Lepas nikah mereka masih berhubung dengan saya, ada sahaja topik.

Saya tahu mereka sebenarnya rindu saya. Bayangkan malam pertama nikah sepatutnya lelaki itu luang masa dengan isterinya.

Tapi malam tu dia buat-buat sibuk tanya soalan yang acah-acah educated tapi sebenarnya saya tahu dia nak perhatian saya. Saya tak layan tapi kalau asyik kena spam, saya terpaksa juga balas.

Saya tak nak di cop sombong tapi saya juga tak nak jadi perosak rumah tangga orang, ada masa mereka ajak keluar makan sedangkan ada isteri di rumah.

Baca juga: “Mak mentua pakai macam orang alim tapi suka bawa mulut sampai aku dan suami hampir bercerai”