Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masih ada kelompok kecil dalam Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang masih selesa dengan amalan lama, dipercayai berkait dengan rasuah.
Beliau berkata, kerana itu tindakan segera dan keras harus diambil terhadap kelompok terbabit yang menjejaskan imej jabatan, penjawat awam dan negara.
Begitu pun, Anwar berkata ‘amalan lama’ itu yang didakwa berlaku dalam kalangan penguat kuasa Imigresen tidak memberi gambaran secara umum mengenai kerosakan yang berlaku dalam jabatan berkenaan.
“Semalam sebelum sambut kepulangan Agong, saya sempat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerana ada sedikit sebanyak ‘keributan’ kecil.
“Tentunya saya lihat, semua kaunter Imigresen berfungsi. Maknanya majoriti kakitangan Imigresen menjalankan tugas dengan baik tetapi seperti mana juga kita sedar dan sering saya tegaskan ada kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama (rasuah).
“Selalu kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya pergi untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita memberi gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen.
“Tetapi tidak boleh kita nafikan, (angkanya) terlalu ramai,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai hari ini
Perdana Menteri berkata, lawatan mengejut beliau ke KLIA semalam adalah bertujuan untuk mengangkat martabat dan integriti Jabatan Imigresen yang ketika ini berdepan dengan kritikan umum.
Katanya, pegawai atasan harus turun ke bawah bagi perbaiki keadaan, bukan cari salah atau mengecam.