Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa ada beberapa hantaran di media sosial sudah mula menjalankan tugas jahat menyebarkan berita palsu, firnah dan cuba memburukkan misi Muda membantu mangsa banjir.
Beliau juga menafikan dakwaan parti itu mendapat dana dari DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Misi Banjir Muda.
Jelasnya, semua dana yang berjaya diraih yang berjumlah RM2,062,186.98 adalah hasil sumbangan 42,209 penyumbang seluruh negara.
“Saya tak pernah pertikai atau kritik mana-mana parti yang buat kerja bantu mangsa banjir. Umno, Pas, MCA nak buat kerja, baguslah. Memang itu tugas semua orang.
“Muda pun cuba bantu. Saya memang pesan dekat semua ahli dan koordinator banjir dari Muda, fokus pada tugas kita sendiri. Selagi parti atau orang lain tak ganggu kerja kita, kita fokus sahaja kerja Muda.
“Posting macam ini ada orang yang disebalik kerja-kerja jahat ini. Siapa dalangnya, saya tak tahu dan tak nak tahu. Yang pasti, ahli Muda dilarang buat benda sia-sia macam ini,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memaklumkan, purata sumbangan dari setiap individu adalah sekitar RM48.85 seorang.
Muda juga katanya menerima sumbangan dari orang ramai yang menyalurkan toto dan tilam (500 set), pek makanan (4500), water jet (100), bot (2), rumah kontena (2), Peti ais (10), pampers mamy poko (1000),
Barang sekolah asbil (500 set), air mineral (2000 carton) dan banyak lagi.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter mendakwa Saddiq dan partinya menerima dana sebanyak RM2 juta dari dua parti pembangkang dan menggunakan dana tersebut atas nama Muda.
Pengguna tersebut turut mendakwa Saddiq seperti menangguk di air yang keruh kerana didakwa cuba mengambil kesempatan bencana banjir untuk menaikkan nama Muda.