Beberapa tahun lepas penulis mendapat peluang menyertai perbincangan undang-udang dan sukan ketika penulis masih dalam pengajian di Britain. Di akhir sesi terdapat perbincangan hangat antara pembentang dan beberapa ilmuan dari Korea, Taiwan, Jepun dan China.
Pembentang merupakan orang kuat sukan bertaraf dunia mengatakan dengan keras bahawa jika China dan negara seumpamanya mahu menang atau menyertai sukan tersebut lalu mengukir nama di persada di peringkat antarabangsa dan dunia, maka China perlu patuh dan akur dengan segala syarat-syarat terbuka penyertaan pertandingan juga syarat-syarat di belakang penganjuran.
Pembentang tersebut siap memberikan dalil, hujah juga contoh bahawa dalam keadaan tertentu juga China sampai harus mengubah dasar atau polisi negaranya terhadap negara lain atau mana-mana berkaitan sukan atau isu-isu antarabangsa, agar selari dan tidak bercanggah dengan keputusan jawatankuasa sukan dunia, dengan harapan agar China dapat diterima masuk penyertaannya atau layak memenangi mana-mana kategori pun.
Perbincangan tersebut berlanjutan sungguh hangat sekali antara mereka hinggalah penulis dapat merumuskan beberapa perkara hasil dari perbincangan tersebut.
Sukan bertaraf dunia selain diregulasi oleh peraturan antarabangsa, terdapat tangan-tangan ghaib yang menyusun atur isu-isu penyertaan, kemenangan dan sebagainya sebenarnya. Sukan Olimpik sebagai contohnya pada dasarnya mementingkan semangat kesukanan, setiakawan, persahabatan, kerjasama, keamanan dunia dan sebagainya nampaknya indah khabar dari rupa.
Ini mungkin telah lari dari matlamat asalnya demi kepentingan politik dunia. Pelbagai negara menyertai sukan selain maslahat mempromosi kesihatan, sukan, negara, jenama, nama dan sebagainya, kini nampaknya menjadikan sukan sebagai satu wadah neokolonisma.
Neokolonisma ialah satu praktis yang menggunakan medium ekonomi, globalisasi, imperialisasi kebudayaan dan bantuan bersyarat untuk mempengaruhi sesebuah negara, selain cara yang digunakan sebelum ini yang mana penjajah menjajah secara terus menggunakan kuasa tentera (imperialisma) ataupun melalui pengaruh politik secara tidak langsung (hegemoni).
Polis dunia dan sekutu-sekutunya akan menggunakan apa cara yang ada di dunia untuk menguasai dunia. Untuk pengetahuan ramai, polis dunia kini merupakan kuasa baru yang baru lahir.
Polis dunia ini tidak lahir seangkatan pasukan armada laut zaman dahulu kala seperti Britain, Belanda, Sepanyol, Portugis dan seumpamanya. Malah dikatakan polis dunia ini pernah dijajah oleh mereka.
Polis dunia ini adalah satu negara baru kini merupakan satu kuasa besar dunia yang lahir dengan tajaan juga kefahaman yang diketahui ramai. Maka segala dasar, polisi dan tidak tanduk polis dunia ini yang dilihat memihak beberapa negara dan sekutunya tidaklah menghairankan.
Antara medium yang digunakan oleh polis dunia dan sekutu-sekutunya ialah dengan cara yang dilihat seolah mengatur kedamaian dunia seperti sukan. Tetapi malangnya di belakang ialah percaturan politik dunia yang tidak berkesudahan.
Jika kita melihat ke belakang akan sejarah sukan antarabangsa pernah tercalar dengan insiden pembunuhan di Munich, German sekitar tahun 1972. Dikatakan ahli kumpulan negara yang dijajah zionis membunuh juga menculik atlit negara tersebut. Perbincangan demi perbincangan jua pertumpahan darah berlaku dalam insiden tersebut.
Pada tahun 2016 satu sambutan diketuai Brazil diberi penghargaan oleh jawatankuasa Olimpik untuk memperingati kematian atlit-atlit tersebut. Namun apabila beberapa atlit termasuk negara kita mengibarkan bendera menyokong negara dijajah zionis dikecam pula.
Sukan seharusnya menjadi suatu medium perpaduan dunia tanpa kira ras, warna kulit juga geopolitik tapi nampak sebaliknya. Kelihatan sukan Olimpik kali ini akan keengganan beberapa atlit contohnya dari Turki berhadapan atlit Israel.
Ini menunjukkan solidariti bukan sahaja politik tetapi penentangan, kecaman juga tekanan, atas isu kemanusiaan yang sekian lamanya gagal ditangani oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kelihatan peraturan antarabangsa sukan seolah satu perisai yang akan digunakan sebagai satu pedang apabila tiba masanya kelak.
Ditambah lagi masalah pandemik kini yang diuar-uarkan berasal dari daerah tertentu maka lihatlah apa pula syarat dikenakan pada China untuk menghantar atlit bertaraf dunia ke sana.
Pandangan dan pemerhatian penulis walau mungkin dikatakan sebagai satu fatamorgana, namun jika kita menyelak satu demi satu lembaran sejarah lepas dan peristiwa akan datang, kebenaran mungkin akan terselit jua.
Jawatankuasa dan pemain sukan dunia manakan mahu mengaku akan gerak geri dan tindak tanduk mereka.Bukalah mata dan lihatlah dunia, peraturan dan percaturan dengan mata hati dan minda yang terbuka.
————-
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.