Orang ramai memberi reaksi pelbagai apabila ditanya pandangan mereka mengenai telur import India yang dibawa masuk oleh kerajaan dua minggu lalu.
Ada yang memberi reaksi positif dan menyambut baik usaha kerajaan dalam menangani ketidakcukupan bekalan makanan protein itu.
Namun, dalam masa sama, tidak kurang juga ada yang bimbang dan seboleh-bolehnya akan mendahulukan telur tempatan berbanding import.
Seorang bekas guru, Aza, 60, berkata, peluang perlu diberikan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan makanan dalam negara, dan jika import telur adalah alternatif yang ada, rakyat perlu menyokong keputusan itu.
“Sekurang-kurangnya kerajaan buat sesuatu untuk cukupkan bekalan makanan untuk rakyat. You have to do what you have to. Kita patut bagi peluang pada kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.
“Jika ini alternatif yang mereka berikan (untuk tampung bekalan makanan), kita terima. Tapi kena pastikan telur import itu melalui saringan yang ketat dan benar-benar berkualiti,” katanya dalam tinjauan Malaysia Dateline di sekitar Petaling Jaya semalam.

Bagi pelanggan sebuah pasaraya, Fong Tai, 55 berkata walaupun dia masih belum menjumpai telur ayam import yang dibawa masuk ke Malaysia, namun tiada masalah untuk dia dan keluarga menggunakannya.
“Saya ada baca tentang isu ini di surat khabar tapi saya belum pernah nampak lagi. Saya tak ada masalah dan okay sahaja kalau nak beli telur itu. No choice kalau telur tempatan tiada,” katanya.

Pandangan sama turut dinyatakan pelanggan lain, Lily, 53 yang berasa teruja untuk mencuba telur ayam import dari negara luar, asalkan ianya mestilah murah setanding harga telur tempatan.
“Mungkin akan cuba. Kalau okay dan lebih murah, saya akan terus beli telur import,” katanya.
Bagaimanapun terdapat beberapa pengguna yang ditemui Malaysia Dateline berasa agak bimbang dan tidak yakin dengan telur import kerana bimbang wujudnya telur ayam tiruan.
Mereka juga berkongsikan pengalaman membeli telur ayam tempatan yang sudah busuk, menyebabkan mereka was-was pula dengan telur import.
Selain itu, mereka mengatakan telur import agak mahal dan kecil berbanding telur ayam biasa, dengan itu memilih untuk tidak membeli telur berkenaan.
Dalam masa sama, kebanyakan pengguna turut membangkitkan isu kualiti dan kebersihan telur ayam import.
Pada 6 Disember lalu, kerajaan mengumumkan untuk mengimport telur untuk mencukupkan bekalan dalam negara.
Bagaimanapun, kebenaran mengimport telur hanya merupakan pendekatan sementara sehingga bekalan bahan makanan itu kembali stabil.
Dalam tempoh enam bulan akan datang, mungkin kerajaan tidak membenarkan lagi kemasukan telur import.
Baca juga: Peniaga, peruncit sedia terima telur import tapi stok tidak pernah sampai