Sampai satu masa semua manusia akan berubah namun janganlah kita mengkritik atau membuat taruhan selama mana mereka istiqamah.
Buat pelakon dan pengarah Fauziah Ahmad Daud akui terkejut apabila masyarakat ‘bertaruh’ selepas dirinya membuat keputusan berhijab pada tahun 2000.
Menurut Harian Metro, Fauziah mengakui dirinya diuji dengan kata-kata apabila selepas berhijab.
“Bila saya pulang dari Makkah saya berhijab ramai yang terbuka hati untuk berhijab. Tapi saya menyangkal begini, saya tak mahu anda berhijab kerana Fauziah Ahmad Daud.
“Anda kena memahami kenapa anda berhijab. Sebab kalau tidak, anda tidak kuat kerana ujian Nya pelbagai. Adakah anda sanggup diuji dengan kata-kata.
“Macam saya ada orang bertaruh, okay aku bagi dia seminggu, ada yang agak tiga bulan dan ada yang rasa enam bulan,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.
Jelas pelakon berusia 62 tahun, dia bagaimanapun bersyukur hingga ke hari ini masih istiqamah dalam menutup aurat.
“Alhamdulillah… sekarang sudah 24 tahun. Syukur ke hadrat Allah kerana kita benar-benar memahami kenapa ia dituntut untuk kita berhijab.
“Saya menyedari Allah menyuruh menutup aurat pada usia 37 tahun, rupanya untuk ini. Dia dah aturkan kehidupan saya,” tambahnya.
Namun dia mengakui pelik mengapa ramai terkejut melihat dirinya memilih untuk berhijab sehingga berprasangka buruk pada dirinya sendiri.
“Saya tidak faham bila saya pulang, kenapa kekecohan berlaku bila saya berhijab kerana ramai yang macam terkejut.
“Saya fikir saya jahat sangatkah sampai tak boleh berhijab? Saya tak pernah rosakkan rumah tangga orang, tak pernah tutup periuk nasi orang, tak pernah buat benda mengarut sampai ibu bapa saya sakit jantung.
“Itu amat memeranjatkan saya. Dan ketika itu mungkin kerana kehidupan Fauziah Ahmad Daud dah tertulis dari awal saya. Bila Allah izinkan saya berhijrah, banyak kata-kata negatif dilemparkan kepada saya.
“Tetapi mungkin saya berpegang kepada satu, pelik kenapa manusia menghina saya. Saya bukan manusia sempurna,” jelasnya.
Baca juga: Che Ta nafi Aaisyah dilahirkan dalam ‘dulang emas’, hanya mahu yang terbaik buat anak