Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional menggesa kerajaan mengekalkan peruntukan bagi tajaan biasiswa Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) dan juga tajaan program bursari kepada pelajar yang layak.
Pengarah Komunikasi Awan Nasional Fareedah Samad berkata, tidak munasabah kerajaan yang dikatakan mendahulukan rakyat memotong peruntukan pendidikan yang merupakan sektor penting dalam plan pembangunan negara.
Tajaan JPA digantung bagi menampung masalah kekurangan dana, dalam masa yang sama peruntukan untuk program di bawah kategori sekunder boleh diteruskan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan bersikap zalim jika menarik tajaan biasiswa ini kepada para pelajar yang sekarang dalam tempoh tajaan JPA terutamanya yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
“Mereka ini yang berusaha bersusah payah mendapatkan keputusan cemerlang bagi memenuhi syarat kelayakan untuk mendapat tajaan seharusnya terus diberi peluang untuk menikmati tajaan JPA ini.
“Menghentikan tajaan kepada mereka di pertengahan jalan pengajian mereka adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya lagi.
Kerajaan dilaporkan menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus ijazah dan bursari Kementerian Pendidikan bagi program pra universiti, di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara.
Menurut Fareedah, peruntukan yang diberi kepada JPA bagi menampung biasiswa pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran mereka ke universiti hanyalah berjumlah RM1.65 bilion selepas dikurangkan daripada RM1.93 bilion, sedangkan bajet yang diperuntukkan untuk sebuah Jabatan Perdana Menteri sahaja bernilai lebih RM20 bilion.
“Adakah program-program di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu lebih penting daripada pembiayaan pelajaran untuk pelajar ke universiti?
Justeru, Awan Nasional menggesa satu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula bajet 2016 ditubuhkan dengan melibatkan keanggotaan daripada semua wakil masyarakat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mahasiswa, petani dan nelayan serta golongan golongan profesional yang turut berdepan risiko pengurangan bajet di sektor masing-masing.
“Awan Nasional berpandangan adalah lebih penting dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini kerajaan meningkatkan pantauan dalam usaha mengekang ketirisan dan membasmi rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Dalam masa yang sama tegasnya, kerajaan juga harus melakukan penjimatan yang sewajaranya ke atas projek-projek mega yang boleh ditangguhkan dan memberi keutamaan kepada sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan makanan.
“Kerajaan perlu turun ke bawah melihat kesusahan dan keperitan rakyat terbanyak berdepan dengan krisis ekonomi yang semakin meruncing ini,” katanya.