“Adakah dosa fitnah lebih berat daripada membunuh?” soal Guan Eng

Oleh BORHAN AHMAD

Penyelesaian kes saman fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam terus mendapat tempat di media sosial hari ini.

Mengulas laporan akhbar Sinar Harian berhubung kes tersebut, Guan Eng dalam mesej twitternya menulis, “Akhirnya kebenaran dedahkan siapa penfitnah siapa
mangsa. Kurang pasti… adakah dosa fitnah lebih berat dpd (daripada) bunuh?”

Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong dalam penghakimannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan Nasrudin membayar kos RM10,000 kepada Guan
Eng serta menarik balik kenyataan kononnya Kerajaan Pulau Pinang tidak mengamalkan tender terbuka dalam Projek Terowong Bawah Tanah.

“Selepas kita menunjukkan dokumen, akhirnya beliau (Nasrudin) menerima kebenaran bahawa kerajaan negeri memang mengamalkan tender terbuka.

“Ini kerja Tuhan, iaitu menunjukkan kebenaran itu benar,” jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita selepas sidang mahkamah berakhir semalam.

Mahkamah merekodkan penyelesaian kes tersebut dan membatalkan writ saman itu selepas Guan Eng selaku plaintif dan defendan (Nasrudin) bersetuju untuk tidak memanjangkan isu tersebut.

Nasrudin ketika membacakan kenyataan dalam mahkamah berkata, “Setelah meneliti dokumen yang dikemukakan oleh mahkamah, saya berasa kesal kerana sebahagian artikel yang ditulis telah menyebabkan salah faham terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang”.

Nasrudin berkata oleh kerana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak memanjangkan isu tersebut, beliau akan menarik balik artikel dalam laman facebook miliknya pada 6 Ogos 2014 kerana mendapati ia tidak mempunyai asas ke atas Lim.