Adam Adli dilantik menjadi Pengerusi MPN Melaka berkuatkuasa pada 15 Disember 2025 menggantikan, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Keadilan Fauziah Salleh dalam satu kenyataan sebentar tadi.
“Biro Politik KEADILAN telah membuat ketetapan bahawa Saudara Adam Adli, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Melaka(MPN) akan memangku tugas saudara Shamsul Iskandar sebagai Pengerusi MPN Melaka berkuatkuasa pada 15 Disember 2025.”
Sementara itu jawatan Shamsul sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya masih kekal, katanya lagi.
Pada minggu lalu, Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral Sabah.
Pertuduhan pertama, Shamsul Iskandar, 51, didakwa bersetuju terima untuk dirinya suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert sebagai dorongan membantu syarikat ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Pemimpin politik itu didakwa melakukan melakukan perbuatan tersebut pada 24 November 2023 di tempat letak kereta sebuah hotel di sini.
Pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan untuk dirinya iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik daripada Albert berjumlah RM14,580 atas tujuan sama di antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.
Pertuduhan ketiga, Shamsul Iskandar turut didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada ahli perniagaan itu bagi membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah pada 29 Januari 2024 di premis sama di Jalan Medang Serai.