Adik bawa balik awek sampai tidur dengan mak, baru tahu jantina sebenar lepas purdah terselak

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di platform media sosial baru-baru ini berhubung perkongsian dari seorang wanita mengenai satu kejadian mendebarkan dialami keluarganya selepas adik lelakinya membawa pulang ‘awek’ berpurdah ke rumah mereka.

Difahamkan, adik lelaki kepada wanita dikenali sebagai Maya itu berkenalan dengan seorang ‘gadis’ berpurdah bernama Hidayah menerusi salah satu platform sembang di atas talian selama tiga minggu tanpa bersua muka.

Hidayah yang dikatakan berasal dari Sabah itu kemudian membuat permintaan kepada adik lelaki Maya untuk ikut pulang beraya di rumah ibu mereka kerana status dirinya sebagai Mualaf, anak yatim piatu serta tiada adik-beradik.

Keluarga Maya yang tinggal di Pontian, Johor itu bukan sahaja menerima permintaan tersebut dengan hati terbuka malah bersedia untuk membawa Hidayah pulang beraya bersama ke kampung mereka di Mersing.

Namun sehari sebelum bertolak dengan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Pontian, Hidayah sempat memberitahu Izzati iaitu adik kedua Maya bahawa saiz badannya kini sedikit berisi selain berperwatakan ‘tomboy’ dan lasak.

Akhirnya pada 26 Mac lalu, Hidayah selamat tiba di bandar Pontian sebelum dijemput oleh adiknya di perhentian bas lalu membawa pulang ‘gadis’ berpurdah berkenaan ke kediaman dengan disambut oleh Izzati dan ibu mereka.

Maya yang tinggal di rumah berasingan bagaimanapun merasa ada sesuatu yang tidak kena selepas menerima gambar Hidayah kiriman adiknya memandangkan bentuk fizikalnya tidaklah seperti seorang gadis.

Malah selama berada di kediaman mereka, Hidayah tidak pernah membuka purdahnya termasuklah ketika mahu masuk tidur bersama ibu Maya di atas katil yang sama dengan alasan sudah terbiasa.

Bagaimanapun helah ‘gadis’ terbabit akhirnya terbongkar selepas purdahnya terselak ketika tidur nyenyak di mana ibu Maya terkejut apabila mendapati bakal menantu yang tidur di sebelahnya bukanlah seorang wanita tetapi lelaki.

Mereka kemudiannya membuat laporan polis ketika lelaki itu sedang tidur nyenak di atas katil namun selepas pihak berkuasa tiba di kediaman tersebut dan mengejutkannya, individu terbabit mengaku konon dirinya adalah khunsa.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Maya menerusi satu hantaran di platform Facebook.

Menurut pihak polis, keluarga Maya kemungkinan sudah dipukau oleh Hidayah kerana dengan begitu mudah rela mengikut segala permintaannya termasuk mahu tidur di rumah walaupun mereka belum berkenalan lebih dekat.

Walaupun motifnya belum diketahui, namun keluarga Maya membuat kesimpulan bahawa cubaan ‘Hidayah’ untuk memukau tidak menjadi kerana mereka memelihara ikan puyu di rumah selain berkat amalan dan doa ibu.

Motif lelaki terbabit masih belum diketahui sehingga kini.

Perkongsian asal mulanya dimuat naik di akaun Facebook milik Maya Syuhada Rosley untuk dijadikan sebagai pengajaran itu telah dipadam namun sempat disebarkan dan tular di pelbagai platform media sosial termasuk di aplikasi X.

Baca juga: “Lagu raya sekarang kurang melodi tapi ‘catchy’” – M Nasir pentingkan elemen kesyahduan