“Adik ipar tak boleh terima aku ‘rampas’ abang dia, hasut keluarga mentua pulau aku”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka masalah yang dihadapinya bersama adik ipar boleh membawa kepada kedinginan hubungan dengan keluarga mentua.

Lebih memburukkan keadaan, sang suami pula enggan menjalankan tanggungjawab untuk mempertahankan mahupun mendengar keluhan masalah dari isterinya.

Berada di ambang penceraian, berikut perkongsian sang isteri yang membuat keputusan untuk berpisah demi mendapatkan kebahagiaan sendiri bersama anaknya.

“Saya wanita berusia 28 tahun yang berada di ambang penceraian. Apa puncanya? Banyak. Suami saya yang berumur 31 tahun liat bagi nafkah walaupun dia bekerja di luar pesisir (offshore). Keluarga mentua juga tak ‘ngam’ dengan saya. Nak dijadikan cerita, adik ipar masih tak boleh terima saya kahwin demgan abang dia.

“Adik ipar dulu memang sangat rapat dengan suami. Sebelum kahwin lagi dia selalu tunjuk tak suka dan tarik muka kalau berdepan dengan saya. Pernah sekali adik ipar cakap, saya tak salam walaupun dia sudah menghulurkan tangan. Saya mengaku itu salah tetapi memang betul-betul tak nampak adik ipar hulur tangan.

“Sebelum ini juga, saya pernah pergi rumah terbuka di rumah bakal mentua. Tiada sesiapa dalam keluarga mereka pun yang layan. Biar sahaja saya duduk seorang diri dan berkawan dengan budak kecil. Adik ipar pula dengan sepupu-sepupu dia. Masa itu saya diam sahaja dan tak fikirkan apa-apa.

“Walaupun boleh agak yang adik ipar tak suka, tetapi kita ini tetap mahu ambil hati bakal keluarga mentua. Akhirnya dia selalu beri alasan yang saya pernah tak mahu bersalaman dengan dia. Selepas berkahwin masih sama. Kadang-kadang bila pergi rumah mentua dengan anak, mesti adik ipar lari naik ke atas.

“Sampai ke sudahlah adik ipar tak turut. Beberapa kali juga jadi macam itu. Sudah cuba berbaik, tetapi tiada peluang sebab dia selalu mengelak nak berjumpa. Lebih memburukkan keadaan, ibu dan bapa mentua buat tak tahu. Kata mereka, hal kecil. Tetapi kalau satu keluarga tak suka saya sebab masalah ini, kecil ke?

“Keluarga mentua perasan yang adik ipar tak suka saya. Sebab setiap kali dia ada, keluarga mentua jadi kekok. Mereka akan kurang bercakap walaupun waktu itu ada sambutan hari jadi ibu mentua. Adik ipar itu satu-satunya gadis dan masih bujang di dalam keluarga. Tak tahu kenapa satu keluarga tak suka saya, sebabkan dia.

“Saya sudah berusaha macam-macam sebab nak ambil hati adik ipar dan keluarga mentua. Tetapi masih sama. Setiap kali bincang masalah ini, dia mesti mahukan saya tunjuk lebih usaha untuk diterima dalam keluarganya. Macam-macam saya lakukan. Sebelum kahwin lagi selalu datang tolong masak di rumah keluarga mentua.

“Ibu mentua siap telefon banyak kali minta tolong masak jika saya tiada sebab kena bekerja di hari minggu. Tetapi bila saya datang, tidak dipedulikan. Bawalah diri dekat bucu rumah, makan seorang diri selepas ‘berlemuih’ badan sebab bantu memasak dan mengemas di dapur mereka.

“Pernah ada perbincangan dengan keluarga mentua. Tetapi masa itu, mereka semua marah-marah dan menyalahkan saya sebab tak salam adik ipar sebelum berkahwin dahulu. Keluarga mentua juga marah sebab saya tidak mengucapkan terima kasih kepada mereka selepas majlis kahwin dahulu.

“Masa berkahwin, saya dan suami gabungkan majlis keluarga. Nikah dan bersanding di hari yang sama. Mana sempat nak buat semua benda termasuk berterima kasih. Sudahlah saya yang menguruskan semua benda sebab suami di luar pesisir, bekerja. Jadi terlepas ‘peluang’ nak berterima kasih kepada mereka.

“Tetapi adik-beradik saya sudahpun menjadi wakil mengucapkan terima kasih. Bapa mentua pula marah sebab dia rasa benci tengok muka saya. Katanya berpunca dari saya yang tak senyum ketika bersalam waktu dia datang ke rumah. Padahal masa itu saya penat sebab anak baru keluar hospital akibat pneumonia.

“Tertekan uruskan anak seorang diri ketika suami bekerja jauh. Masa itu juga suami buat perangai pinjamkan duit pada perempuan lain tanpa beritahu saya. Suami tak mahu mengaku selepas saya dapat tahu. Jadi emosi memang tak stabil semasa itu. Tak sangka pula jadi punca ayah mentua marah dan bencikan saya.

“Sekarang saya sudah penat dengan suami dan keluarga mentua. Terpaksa pendam sebab bila diluahkan, suami tak pernah nak ambik berat. Selalu cakap, ‘sudahlah itu’. Padahal saya perlukan sokongan sebab tertekan dengan kerja sambil menjaga anak seorang diri. Suami juga liat nak berikan nafkah.

“Baju raya memang beli pakai duit sendiri sejak berkahwin ni. Perbelanjaan seharian kebanyakkannya pakai duit sendiri. Barang dapur dan makanan kami anak beranak juga dibeli dengan duit gaji saya sendiri. Setiap kali minta dengan suami, dia selalu buat muka. Alasan suami dia tiada duit nak beri.

“Akhirnya kami selalu bergaduh sebab nafkah. Saya membesar dalam keluarga yang bermasalah. Jadi harap dapat menumpang kasih dengan keluarga mentua. Suami hanya berdiam di sebelah kalau keluarga dia. Doakan saya kuat dan boleh besarkan bayi dengan gembira and sempurna. 

“Harap ini (penceraian) adalah jalan terbaik untuk saya terus gembira dan menjadi ibu yang lebih baik untuk bayi saya. Terima kasih.” Kongsi Tun Teja (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas luahan di atas talian.

Baca juga: Keluarga atau tidak, S Atan tetap kenakan caj RM15k untuk buat lagu dan lirik