Adik Mohd Hanif jadi anak angkat Pemuda Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Pemuda Amanah Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) telah mengambil inisiatif membantu anak yatim piatu adik Mohd Hanif Abdul Halim,9, sebagai anak angkat Pemuda Amanah.

Mohd Hanif akan dibantu Pemuda Amanah sebanyak RM100 setiap bulan sehingga dia berusia 18 tahun.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata, melalui Biro Kebajikan yang diketuai Hasnul Zulkarnain telah bersetuju untuk mengambil Mohd Hanif sebagai anak angkat Pemuda Amanah sebagai tanggungjawab sosial parti itu.

“Tanggungjawab sosial ini merupakan proses untuk kami belajar ‘memakai kasut’ kesusahan rakyat biasa dan bersama berusaha membina generasi terbaik untuk negara.

“Besar harapan kami agar lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, golongan berkemampuan tampil ke depat membantu secara serius rakyat yang susah dan dikalangan yang memerlukan pembelaan berterusan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hanif adalah anak tunggal yang terselamat dalam satu kejadian mati lepas membabitkan bapa, ibu dan tiga kakaknya.

Allahyarham Abdul Halim,44, dan isteri Nurul Adia Awang,39, serta tiga lagi anak mereka,Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11 dan Nurul Izah yang menjadi mangsa lemas dalam trajedi pusar air ketika berkelah di kawasan rekreasi Air Terjun Belukar Bukit Kuala Nerus pada 19 Disember lalu.

Menurut Sany lagi, lembaran tahun baru 2016 mengerakkan Pemuda Amanah melakukan sesuatu yang bermakna buat Mohd Hanif.

“Umurnya masih kecil boleh jadi sebaya dengan umur anak-anak sebilangan daripada kami, membuka ruang untuk kami berkongsi menceriakan hari-hari mendatang buat adik Mohd Hanif.

“Tidak tergambar beban emosi dan kesedihan yang ditanggung anak kecil ini. Kehilangan tempat bergantung dalam usia semuda itu bukan sesuatu yang mudah.

“Tambahan pula status keluarga yang amat sederhana bergantung penuh pada si ayah seorang imam masjid di Punak Alam ketika hayatnya.

“Walau mungkin kebahagian kecil ini tidak akan terbanding dengan lautan cinta keluarganya yang hilang, kami hanya berdoa anak ini mampu tersenyum bahagia untuk meneruskan langkah hidupnya yang masih panjang dan jauh,” ujarnya.