Adik pemandu Axia ditumbuk kesal, keluarga pelaku hanya minta maaf lepas dicekup polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang lelaki bertindak menumbuk wanita yang memandu kenderaan jenis Perodua Axia kerana berang anaknya dilanggar oleh pemandu itu ketika melintas di Jalan Persiaran Senawang 4, Seremban pada Sabtu lalu.

Berdasarkan rakaman yang ditularkan di platform TikTok itu, lelaki terbabit dilihat menyerang pemandu Axia ketika wanita berkenaan masih berada di dalam kereta sebelum menumbuknya sebanyak dua kali walaupun mangsa sudah meminta maaf.

Susulan penularan video itu, pelaku yang juga merupakan anggota tentera berusia 35 tahun ditahan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban berikutan didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu Axia berkenaan.

Terbaharu, adik kepada pemandu Axia itu mendedahkan bahawa keluarga pelaku akhirnya memohon maaf selain meminta simpati supaya mangsa menarik semula kes dengan menggunakan alasan mempunyai tanggungan anak-anak.

Adik mangsa menerusi hantaran dimuat naik di platform TikTok itu turut meluahkan kekesalannya terhadap pelaku dan keluarganya kerana didakwa hanya memohon maaf selepas pihak polis mengambil tindakan sedangkan mereka boleh berbuat sedemikian lebih awal.

Malah pelaku yang sebelum ini menumbuk pemandu Axia itu juga dikatakan sanggup melutut dan sujud di kaki wanita terbabit untuk memohon kemaafan namun hanya ketika tangannya sudah digari oleh pihak polis bagi proses penahanan.

“Masa buat tak fikir. Ketika kejadian, masih nak buat muka baran. Baik suami atau isteri, kedua-duanya tunjuk muka garing. Selepas kakak aku nak teruskan kes supaya kau ditahan, baru nak buat muka kasihan dan minta simpati. Apabila kakak aku berkeras, barulah si isteri datang nak memujuk supaya tarik kes.

“Konon kena kasihan dengan anak-anak kau. Sebab kalau si suami tak kerja, nanti tiada siapa nak menanggung kau dengan anak. Habis itu cuba kau bayangkan kakak aku. Kena terajang di bahagian rusuk sampai patah. Dia juga ada dua orang anak. Seorang masih tadika, satu lagi di sekolah rendah.

“Kakak aku itu ibu tunggal dan tiada suami. Jadi siapa nak tanggung anak-anak dia? Yang si abang (pelaku) itu pula. Semasa menumbuk dan menerajang orang, langsung tak fikir ke hadapan. Apabila tangan sudah kena gari, barulah nak melutut minta maaf. Merayu-rayu sampai sanggup sujud nak cium kaki kakak aku,” kongsinya.

Dalam perkongsian sama, adik mangsa juga mengakui turut terfikirkan tentang tahap kecederaaan bakal dialami kakaknya sekiranya orang ramai tidak tampil menghulur bantuan dengan menahan pelaku daripada terus menyerang pemandu Axia itu.

Tegasnya, mangsa akan tetap meneruskan perjuangan dan tidak menarik semula kes walaupun dirayu mahupun ditawarkan ganti rugi kelak kerana menurut adiknya, nilai wang ringgit tidak berbaloi berbanding maruah kakaknya yang dipermalukan di hadapan orang ramai.

“Kenapa selepas selesai pemeriksaan dekat hospital, kau tak minta maaf walau sedikit? Beri alasan sebabnya orang sudah ramai, jadi kau tak boleh pergi dekat kakak aku minta maaf? Ke sebenarnya kalau orang awam tak tahan, kau masih nak lanyak kakak aku? Nak cakap lebih-lebih sudah tak kuasa.

“Tetapi kau sebagai anggota badan beruniform, kena bela masyarakat. Bukan buat rakyat macam musuh. Akhir kata, kau merayulah macam mana pun. Kakak aku akan tetap teruskan dan TAK AKAN TARIK SEMULA KES. Perut, kepala dia sakit dan bengkak. Pintu keretanya kau sentak dan rosakkan. Jadi berayalah kau kat dalam.” Kesalnya.

Terdahulu, kereta Perodua Axia yang dipandu oleh wanita berumur 28 tahun itu sedang berada di dalam perjalanan menghala ke Senawang dari Mydin Senawang sebelum seorang ibu berusia 34 tahun dan anak perempuannya berumur tujuh tahun tiba-tiba melintas jalan dari arah sebelah kiri ke sebelah kanan.

Oleh kerana jaraknya sudah dekat, pemandu Axia itu tidak sempat mengelak lalu dikatakan melanggar pejalan kaki berkenaan yang mengalami kecederaan ringan akibat daripada insiden tersebut selain turut dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Baca juga: Ini gelagat pagi Raya, nombor 4 paling dinantikan