Adly dilantik ketuai jentera PRN Melaka

Oleh ARIF ATAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju melantik bekas Ketua Menteri, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya blok tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

PH juga akan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard PRN Melaka.

“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua terutama ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Kenyataan bersama PH itu ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau.

Berhubung isu empat bekas ADUN, PH berkata, pihaknya telah menerima pandangan semua pihak.

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini,” tegas PH.

Susulan itu, Majlis Presiden PH memutuskan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam PRN Melaka.

Untuk rekod, Norhizam tahun lalu yang ketika itu ADUN DAP merangkap Timbalan Pengerusi DAP Melaka bertindak memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan menyifatkan dirinya sebelum ini hanya “jadi barua saja.”

Selain, Norhizam, tiga ADUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Ketiga-tiga mereka ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (AMANAH).