“Admin tengah rajin padam komen” – Caprice dakwa ini punca Ebit Lew menang kes saman Mondy Tattoo

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi rap kontroversi, Caprice kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas mendedahkan punca sebenar kemenangan kes saman pendakwah bebas iaitu Ebit Lew terhadap pempengaruh dikenali sebagai Mondy Tattoo.

Menerusi satu hantaran dimuat naik platform Instagram, Caprice mendakwa ketidakhadiran Mondy Tattoo atau nama sebenarnya Dita Restu Amanda untuk hadir ke mahkamah telah menjadi punca kemenangan Ebit Lew.

Rupa-rupanya menurut Caprice, kemenangan itu secara automatik berpihak kepada Ebit Lew kerana Mondy yang berasal yang berasal daripada Indonesia itu tidak pernah hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes berkenaan.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu juga memaklumkan sudah tiga kali meninggalkan komen penjelasan tentang kes tersebut dalam hantaran pengumuman kemenangan di akaun media sosial milik Ebit namun ia telah dipadam.

Caprice secara berseloroh berkata bahawa ‘admin’ atau pengendali media sosial milik pendakwah berkenaan sedang sibuk memadam komen-komen daripada Caprice berhubung kes tersebut.

“Sebab seseorang itu tak pernah ‘make appearance’ atau hadir ke mahkamah, secara automatik (pihak lawan akan) menang. Sudah tiga kali kot Caprice tulis komen tentang hal ini.

“Mungkin admin tengah rajin padam komen kot. Tidak mengapalah. Semalam kawan itu kalah. Dia pun nak rasa ‘menang’. Jadi kita berikanlah dia gembira sedikit,” kata Caprice dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, penyanyi terbabit menerusi perkongsian sama memaklumkan dirinya bakal mengupas pula kes gangguan seksual membabitkan Ebit terhadap seorang wanita yang masih dibicarakan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

Terdahulu, Ebit berkongsi khabar kemenangannya ke atas Mondy di mana pempengaruh terbabit perlu membayar ganti rugi sebanyak RM20,000 kerana telah memfitnah pendakwah berkenaan merogolnya.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas meneliti dan mendengar hujah daripada peguam yang mewakili Ebit selaku plaintif iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader.

Berdasarkan tangkap layar writ saman dikeluarkan pihak Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dimuat naik Ebit di sosial media, Mondy diperintah untuk membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000.

Pembayaran berserta faedah sebanyak 5 peratus setahun itu bermula daripada tarikh pemfailan writ saman sehingga tarikh penyelesaian penuh kes.

Baca juga: Menang saman, Mondy Tattoo diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew