Adun Bertam, Teluk Bahang hilang kelayakan kerajaan negeri

Oleh ARIF ATAN

Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini memutuskan untuk melucutkan kedua-dua Adun Bersatu dari negeri itu sebagai Ahli Kerajaan PH.

Menurut kenyataan Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang, pelucutan kedua-dua Adun itu sebagai Ahli Kerajaan PH, adalah berkuatkuasa serta-merta.

Majlis Pimpinan PH menyifatkan, kedua-dua Adun Bertam dan Teluk Bahang yang jelas menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bercanggah dengan pendirian Bersatu Pulau Pinang serta PH di negeri tersebut.

“Majlis memutuskan untuk melucutkan kedua-dua Adun tersebut. Selaras dengan itu, segala hak dan kelayakan mereka sebagai Adun Kerajaan Negeri adalah dibatalkan dengan serta-merta.

“Bagi Adun Seberang Jaya yang telah digantung keahliannya oleh PKR, keputusan telah dibuat untuk menggantung statusnya sebagai Ahli Kerajaan PH.

“Oleh itu, segala hak dan kelayakannya sebagai Adun Kerajaan Negeri adalah digantung dengan serta merta sehingga keputusan muktamad dibuat oleh pimpinan PKR,” maklum kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Pulau Pinang daripada DAP, Chow Kon Yeow; Timbalan Pengerusi 1 PH Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Keadilan) dan Timbalan Pengerusi 2 PH Pulau Pinang, Roslan Ahmad (AMANAH).

Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang membuat keputusan berkenaan menerusi satu persidangan yang diadakan semalam.

Susulan pelucutan dan penggantungan melibatkan tiga Adun itu, Kerajaan Negeri akan melantik tiga ‘Adun Angkat’ bagi mengurus dan menyelaras program serta urusan kerajaan di kawasan tersebut.

“Kawasan Teluk Bahang akan diuruskan oleh Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Kawasan Bertam oleh Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Nurul Izzah Anwar di kawasan Seberang Jaya.

“Selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana Ahli yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa Pilihan Raya atas apa jua alasan hendaklah mengosongkan kerusinya.

“Justeru, kerajaan negeri akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi ahli-ahli yang terlibat bagi pertimbangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada sidang yang akan datang,” ujarnya lagi.