Adun DAP mahu banteras mesin kuda

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Dewan Negeri (Adun) Perling dari DAP menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk bertindak lebih agresif menutup permis khidmat mesin kuda.

Cheo Yee How berkata, perkara itu perlu dipandang berat kerana pusat yang mengadakan aktiviti mesin kuda tersebut banyak merosakkan sosial masyarakat.

“Saya komited untuk menyarankan kepada pihak kerajaan negeri agar mengambil tindakan kepada permis yang mengadakan khidmat mesin kuda haram tersebut.

“Selain itu, pihak kerajaan harus menyekang operasi judi haram yang lain. Cadangannya adalah dengan menarik lesen dari premis yang mengadakan khidmat sedemikian sebagai hukuman terhadap kegiatan salah mereka.

“Di Johor ratanya terdapat kegiatan mesin kuda yang banyak dan saya menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat tindakan terhadap permis berkenaan,” ujar Cheo.

Cheo yang membawa usul berkenaan di dalam sidang Dewan Negeri (Dun) Johor yang bermula 9 Ogos 2018 yang lalu bertekad untuk bersama dalam menangani masalah gejala sosial ini.

Cheo turut memberitahu kepada pihak media, selain kedai atau permis yang mengadakan kegiatan mesin judi haram, pusat yang mengadakan judi secara talian juga perlu ditangani oleh pihak kerajaan.

“Selain itu judi haram secara dalam talian perlu ditangani oleh pihak kerajaan dan saya juga menyarankan agar pihak kerajaan, PBT dan polis bergabung dalam menangani masalah ini.

“Saranan untuk menghentikan jualan kad prabayar bagi permainan judi dalam talian perlu dibendung oleh pihak kerajaan.

“Lumrah judi haram ini adalah suatu yang tidak boleh dikawal dan kesannya akan membawa kepada jenayah yang lebih besar,” katanya.