Aeiza bawa suara anak muda Malaysia tolak Umno – Kit Siang

Oleh BORHAN AHMAD

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang yakin luahan rasa Exco Pergerakan Puteri Umno, Aeiza Hassan bahawa Umno bukan lagi pilihan anak muda Malaysia sebenarnya mewakili pendirian anak muda negara ini.

“Saya percaya ia bukan sahaja luahan aktivis muda Umno Pulau Pinang tetapi mewakili luahan generasi muda Malaysia, sama ada ahli Umno atau di luar Umno, sama ada di Pulau Pinang atau di seluruh Malaysia,” ujar Kit Siang.

Selain memegang jawatan di peringkat nasional, Aeiza juga Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang.

Surat terbuka Aeiza mengulas isu penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah menjadi viral di media sosial.

Dalam surat terbukanya itu, Aeiza mendedahkan pengakuan seorang ketua Umno bahagian di Kedah berhubung imbuhan yang diperolehi penyandang jawatan parti itu di peringkat bahagian dan sayap parti jika bersetuju menyingkirkan Mukhriz.

Aeiza turut melahirkan kekecewaan terhadap budaya tidak sihat di dalam Umno dan mengakui Umno bukan lagi menjadi parti pilihan generasi muda.

Kit Siang menambah, persoalan yang ditagih bukan sahaja golongan muda Umno malah seluruh anak muda Malaysia tidak pernah dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Kedah semalam.

“Apa yang dimahukan golongan muda Malaysia bukanlah kelulusan segera peruntukan berjumlah RM15 juta yang diminta Menteri Besar baru Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah ketika Najib melancarkan Pusat Transformasi Luarbandar Sungai Petani, tetapi tanggung jawab penuh beliau dalam menjelaskan dua skandal mega bertaraf dunia – ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion dan RM55 bilion (hutang) 1MDB,” tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Dua skandal itu, ujarnya membawa malu dan penghinaan terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa di samping merosakkan keyakinan negara dan antarabangsa terhadap masa depan Malaysia,

Kit Siang turut menuntut Najib bertanggungjawab menjelaskan peranannya dalam dua skandal mega negara dan tidak berselindung di belakang Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang disifatkan beliau sebagai rendah kredibiliti serta tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan awam.

“Adakah Najib bersedia memanggil sidang khas parlimen pada Februari ini untuk membersihkan dirinya dari sebarang salahlaku, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dalam dua skandal mega itu atau beliau bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya diraja dengan ahli-ahli suruhanjaya itu dipilih secara konsensus oleh parlimen dan masyarakat sivil?” ujarnya.