Kemerosotan alam sekitar dan fenomena perubahan iklim yang berlaku telah memberi ancaman kepada dunia dan kesejahteraan manusia.
Titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada hari ini, menyeru kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok melalui pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
Titah Baginda, kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai geopark hendaklah dikekalkan dan dipelihara
Katanya, bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan, mekanisme pengurusan bencana hendaklah sentiasa ditambah baik dan turut melibatkan peranan dan tanggungjawab rentas sosial meliputi Kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan sukarelawan terutamanya daripada kalangan belia serta rakyat jelata.

“Dalam masa yang sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah dilaksanakan secara berterusan,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda meingatkan kerajaan agar pembangunan sistem amaran bencana berpusat dan peningkatan sistem saliran terutamanya di kawasan berpenduduk padat khususnya di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana hendaklah terus dipergiatkan.
“Langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hendaklah segera dilaksanakan.
“Di samping itu, pelaksanaan kerja-kerja pembersihan awam dan penyenggaraan kemudahan tebatan banjir hendaklah dilakukan secara berkala.
“Perlindungan dan kelestarian alam sekitar mestilah diutamakan. Rakyat Beta hendaklah sentiasa cakna dan mengambil berat terhadap kepentingan dalam memastikan kebersihan dan keselamatan di kawasan
persekitaran masing-masing,” titahnya.
Selaras dengan aspirasi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050, Baginda bertitah strategi pertumbuhan hijau yang bakal dilaksanakan ialah penerima gunaan ekonomi kitaran, pembangunan rendah karbon serta pengukuhan tindakan daya tahan perubahan iklim dan bencana termasuk faktor geologi.
“Beta percaya strategi yang telah dirangka tersebut akan menjadikan ekonomi agar lebih mampan, inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi yang baharu,”titah Baginda.