Penyokong desak perwakilan tolak presiden Umno demi kelangsungan Umno

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Penyokong yang hadir untuk mendengar ’Amanat Timbalan Presiden Umno’ malam tadi mengajak perwakilan dan Majlis Tertinggi (MT) Umno agar menolak kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak demi kelangsungan parti itu  dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang bermula hari ini.

Majlis amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Datuk Shafie Apdal mendapat sambutan lebih  5,000 ahli dan penyokong parti yang hadir memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Sultan Sulaiman di Kampung Baru malam tadi.

Antara bekas pemimpin Umno yang hadir memberikan sokongan terhadap Muhyiddin dan sempat ditemubual Malaysia Dateline adalah Datuk Khairuddin Abu Hassan (bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan) dan Anina Saadudin (bekas ketua bahagian wanita Langkawi yang juga bekas ahli cawangan Padang Maksirat).

Datuk Khairuddin Abu Hassan (kiri) dan Anina Saadudin.Datuk Khairuddin Abu Hassan yang pertama kali berpeluang mendengar penjelasan terus daripada Muhyiddin malam tadi berkata, apa yang diucapkan Muhyiddin ada kewajarannya.

“Beliau telah memberikan ucapan yang bernas dan wajar sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang digugurkan daripada kabinet.

“Presiden Umno patut berehat dari awal lagi kerana isu membabitkan 1MDB dan dana RM2.6bilion itu kini telah diperdebatkan oleh banyak pihak dalam dan luar parti.

“Dan saya kecewa sehingga ke hari ini beliau masih lagi mahu memimpin parti dan negara tanpa mendengar nasihat dan teguran daripada pemimpin atasan negara seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir.

“Dalam hal ini perwakilan Umno juga tidak harus membisu untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan hari ini, “ ujarnya.

Beliau berkata, walaupun telah dipecat daripada keahlian dalam parti, beliau masih lagi sayangkan Umno.

“Saya tetap menyokong Umno dan tidak sekali-kali menyertai parti lain. Saya hanya mahu  melihat ahli Umno berani membuat perubahan terutama di kalangan perwakilan dengan menolak pemimpin sedia ada demi kelangsung parti,” ujar suami pelakon Umi Aida ini.

Manakala Anina Saadudin berkata, pentas amanat yang disediakan kepada Timbalan Presiden Umno itu amat dinantikan lebih 3 juta ahli Umno.

“Kesudian Tan Sri Muhyiddin hadir malam ini sebenarnya boleh membakar semangat perwakilan dan ahli Umno.

“Malah saya menolak dakwaan kononnya kehadiran beliau memberi amanat akan memecah belahkan parti.

Presiden PMJMM Abdul Rani Kulup Abdullah“Sebaliknya MT lah yang memecah belahkan ahli Umno kerana tidak membenarkan seorang Timbalan Presiden Umno berucap pada perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri dalam PAU kali ini,” ujarnya ketika diminta pandangan.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (PMJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Ayahanda Arka Kipidap’ yang kerap membuat laporan polis terhadap isu berkaitan politik agama dan bangsa turut hadir mendengar Amanat Timbalan Presiden malam tadi.

“Ini kali pertama saya hadir untuk mendengar kemelut 1MDB dan isu-isu membabitkan PM. Saya dapat gambaran yang jelas tentang perkara yang berlaku ini dari mulut Tan Sri.

“Jadi saya serah kepada ahli dan perwakilan Umno untuk membuat keputusan terhadap kepimpinan sedia ada hari ini,” ujarnya yang enggan mengulas panjang dan bercadang untuk hadir ke PAU bagi mendengar ucapan-ucapan perbahasan perwakilan dan Presiden Umno.

Manakala seorang penuntut tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangasa (UIA) Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, beliau menyokong mana-mana individu yang mengangkat dan memertahankan nama baik negara.

Beliau menyokong usaha yang sedang dilakukan oleh tiga pemimpin utama parti ini.

“Kehadiran Tun M, Muhyiddin dan Shafie menunjukkan mereka cuba mengangkat dan mempertahankan nama baik negara.

Syed Saddiq Abdul Rahman“Saya syorkan pada masa ini sepatutnya Presiden Umno Datuk Seri Najib dapat bersihkan namanya dengan tidak masuk campur dalam apa jua siasatan dilakukan,” ujarnya ringkas.

Himpunan ‘Amanat Timbalan Presiden Umno’ itu bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 11 malam tadi dalam suasana harmoni di kalangan ahli parti dan penyokong mereka.