Ahli Parlimen Labuan isytihar sertai Warisan

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli parlimen Labuan mengisytihar keluar Umno dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Datuk Rozman Isli menyerahkan borang keahlian kepada timbalan presiden Warisan Datuk Darell Leiking, hari ini, lapor BH Online.

Katanya keputusan dibuat selepas mendengar pandangan pelbagai pihak demi masa depan dan kesejahteraan penduduk kawasannya.

Dalam satu kenyataan hari ini dipetik, Rozman mengumumkan bahawa beliau telah membuat keputusan itu kerana mahu memupuk hubungan yang lebih baik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Warisan dan pembangunan yang lebih baik untuk wilayah persekutuan Labuan.

Katanya, demi masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyat Labuan, hari ini beliau mengumumkan keputusannya untuk menyertai Warisan walaupun beliau sendiri tidak mempunyai masalah dan untuk menjadi ahli parlimen pembangkang.

“Hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu kerana usaha itu adalah wajar untuk pembaharuan yang bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti yang berpusat di Sabah.

“Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baru ke arah hubungan di antara Labuan dan Sabah yang lebih intim dan produktif serta bakal membawa faedah kepada kedua-duanya,” katanya dalam medianyar di Labuan hari ini.

Bekas pengerusi BN Labuan itu mempertahankan kerusi pada pilihan raya umum lalu (PRU14) dengan 10,164 undi, menewaskan calon PAS, Warisan dan Parti Harapan Rakyat (PHR).