Kata Ustaz Idris, sejak Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 lalu berjaya menampilkan Presidennya Datuk Abdul Hadi Awang di pentas yang disediakan oleh proksi kerajaan telah membuktikan PAS, teguh dengan pendirian menegakkan Islam.
“PAS tidak akan ikut agenda orang lain, tetapi ikut apa yang diajar oleh agama.
“Heboh di media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.
“Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan muktamar.
“Pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi,” ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang dengan lantangnya, sebagaimana dipetik dari media rasmi parti itu hari ini.
Ustaz Idris berkata, PAS pernah kehilangan Yang Dipertua PAS Ustaz Haji Ahmad Fuad, Datuk Asri Muda, Naib Presiden PAS Ustaz Nakhaie Ahmad, Panglima Jihad Ustaz Hasan Adli, Setiausaha Agung PAS Ustaz Osman Abdullah dan banyak lagi tokoh yang kini katanya ‘lari’ bersama Umno.
“Persoalannya adakah PAS lemah? PAS tetap hebat kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, insya Allah PAS berdiri gagah.
“Ahli PAS dan penyokong mesti jadikan Harakah dan Harakahdaily sebagai rujukan keputusan parti. Hadir ke program dan dialog bersama pemimpin PAS.
“Dapatkan maklumat secara terus daripada pimpinan yang bercakap atas kapasiti keputusan parti bukan pandangan peribadi.
“Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif, mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS,” ujarnya dalam nada yang agak keras tidak menyakini laporan media berkaitan isu kerjasama Umno-PAS akhir-akhir ini dengan dakwaan media mempunyai agenda masing-masing terhadap Umno dan PAS.